PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP LEBIH RENDAH DARIPADA DOLAR AS

20/12/2024 08:07 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada hari terakhir dagangan minggu ini berikutan pengukuhan mata wang unit negara maju itu selepas data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif adalah melebihi jangkaan pasaran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.5055/5100 berbanding dolar AS daripada  4.5030/5080 semasa ditutup pada Khamis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata data terkini ekonomi AS adalah melebihi jangkaan.

Angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah disemak naik manakala tuntutan pengangguran awal menurun, menandakan pertumbuhan teguh sektor pekerjaan yang disokong oleh kekukuhan perbelanjaan pengguna.

“Sehubungan itu, hasil bon 10 tahun AS telah meningkat, yang pada mulanya mengukuhkan dolar. Ini menyebabkan peniaga merendahkan jangkaan penurunan kadar faedah pada 2025 kepada kurang daripada dua kali yang pada awalnya diunjurkan Rizab Persekutuan,” katanya kepada Bernama.

Biro Analisis Ekonomi AS pada Khamis menyemak semula kadar pertumbuhan KDNK suku ketiga kepada 3.1 peratus secara tahunan, meningkat daripada 2.8 peratus.

Jabatan Tenaga Kerja AS pula melaporkan penurunan tuntutan pengangguran awal sebanyak 22,000 bagi minggu berakhir 14 Dis 2024, menjadikan jumlah yang diselaraskan secara bermusim kepada 220,000 justeru memaparkan pasaran buruh yang berdaya tahan.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6328/6384 daripada 5.6999/7062 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6776/6823 daripada 4.6876/6928 pada Khamis.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6328/6384 daripada 5.6999/7062 dan menokok berbanding euro kepada 4.6776/6823 daripada 4.6876/6928 pada Khamis.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8747/8779 daripada 2.8687/8723.

Ringgit menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 13.0670/0861 daripada 13.0322/0530, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 277.7/278.1 daripada 276.0/276.4, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3146/3181 daripada 3.3130/3169 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.66/7.67 daripada 7.63/7.64.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan