PASARAN > BERITA

PASARAN MSM DIJANGKA ALAMI SENTIMEN TIDAK MENENTU MINGGU DEPAN

21/12/2024 11:47 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami pergerakan harga tidak menentu minggu depan berikutan minggu dagangan yang singkat, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh.

Menurut Teh, cuti pada minggu depan, yang menyaksikan kebanyakan peniaga antarabangsa bercuti sempena sambutan Krismas akan menyumbang kepada mudah tunai pasaran yang lebih rendah.

“Julat dagangan dijangka antara RM4,300 satu tan dan RM4,400 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, menghampiri akhir tahun, peniaga lebih memfokuskan untuk kekal dengan kedudukan sedia ada, yang dijangka menyebabkan pasaran lebih lengang dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran MSM dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat, didorong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih perlahan.

"Kami mengunjurkan harga akan diniagakan antara RM4,300 satu tan dan RM4,750 satu tan minggu depan," kata Ng.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak bulan semerta Januari 2025 susut RM232 kepada RM4,762 satu tan, Februari 2025 berkurangan RM335 kepada RM4,571 satu tan dan Mac 2025 rendah RM383 kepada RM4,433 satu tan.

Kontrak April 2025 pula menyusut RM386 kepada RM4,303 satu tan, Mei 2025 rendah RM355 kepada RM4,207 satu tan dan Jun 2025 berada pada RM4,141 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 582,992 lot daripada 516,819 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menokok kepada 244,206 kontrak daripada 241,421 kontrak pada minggu terdahulu.

Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan menyusut RM300 kepada RM4,900 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan