Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum positifnya dan ditutup lebih tinggi melepasi paras utama psikologi 1,600 pada akhir dagangan Selasa, dipacu oleh belian berterusan dalam saham-saham mewah utiliti dan perindustrian, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.79 mata atau 0.43 peratus kepada 1,602.99 berbanding 1,596.20, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 0.44 mata pada 1,596.64, paras terendah intra harian dan meneruskan momentum ke paras tertinggi harian 1,603.89 pada sesi petang.
Sentimen pasaran secara meluas juga bertukar positif menjelang akhir dagangan hari ini yang menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 500 berbanding 428 manakala 533 kaunter tidak berubah, 962 tidak didagangkan dan sembilan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.01 bilion unit bernilai RM1.54 bilion daripada 2.37 bilion unit bernilai RM2.04 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata keuntungan FBM KLCI kebanyakannya diterajui oleh saham utiliti dan perindustrian dengan 24 daripada konstituen indeks mencatat kenaikan berbanding hanya dua susut.
“Sebahagian besar daripada kenaikan itu dipacu oleh aktiviti memperelok akaun pada akhir tahun apabila pelabur institusi menyusun semula portfolio untuk menaikkan matriks prestasi menjelang tempoh itu.
“Namun, aktiviti pasaran secara keseluruhannya adalah kurang memberangsangkan dengan jumlah dagangan hanya 2.01 bilion saham berikutan ramai pelabur yang berehat awal menjelang cuti Krismas esok," katanya kepada Bernama.
Operasi Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya ditutup esok, 25 Disember, bersempena Krismas.
Sementara itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank kekal pada RM10.08 manakala Public Bank untung tiga sen kepada RM4.55, CIMB naik dua sen kepada RM7.97, Tenaga Nasional dan YTL Power masing-masing meraih lapan sen kepada RM14.08 dan RM4.19 dan IHH Healthcare menambah lima sen kepada RM7.08.
Bagi saham aktif, Winstar Capital masing-masing naik 3.5 sen kepada 64 sen, Vanzo dan JCY menokok 1.5 sen kepada 18 sen dan 52.5 sen, Life Water meraih tujuh sen kepada 93 sen manakala Sarawak Cable susut satu sen kepada 14 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meraih 33.90 mata kepada 12,282.88, Indeks FBM Emas Shariah menokok 24.54 mata kepada 12,237.66, dan Indeks FBMT 100 melonjak 34.64 mata kepada 11,969.35.
Indeks FBM ACE meningkat 34.29 mata kepada 5,281.56 namun Indeks FBM 70 turun 6.42 mata kepada 18,375.27.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 25.44 mata kepada 18,883.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.09 mata kepada 170.38, Indeks Tenaga naik 11.84 mata kepada 815.06 dan Indeks Perladangan menambah 20.87 mata kepada 7,508.68.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan susut 1.05 bilion unit bernilai RM1.36 bilion daripada 1.18 bilion unit bernilai RM1.82 bilion, semalam.
Jumlah waran turun kepada 562.60 juta unit bernilai RM56.40 juta daripada 722.88 juta unit bernilai RM72.14 juta sebelum ini.
Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE turut merosot kepada 399.02 juta unit bernilai RM128.45 juta daripada 464.10 juta unit bernilai RM145.75 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 169.51 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (214.25 juta), pembinaan (72.49 juta), teknologi (222.05 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (37.37 juta), hartanah (120.50 juta), perladangan (19.15 juta), REIT (8.70 juta), dana tertutup (42,000), tenaga (78.03 juta), penjagaan kesihatan (44.84 juta), telekomunikasi dan media (14.34 juta), pengangkutan dan logistik (20.35 juta), utiliti (31.02 juta) dan amanah perniagaan (22,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial