PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP KUKUH BERBANDING DOLAR AS

26/12/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS (Amerika Syarikat) hari ini, disokong oleh peningkatan harga minyak yang menguntungkan Malaysia sebagai pengeksport.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.4670/4715 berbanding dolar AS 4.4845/4900 ketika ditutup pada Selasa.

Prestasi ringgit juga mengatasi mata wang Asia Tenggara yang lain tahun setakat ini dengan mencatatkan kenaikan hampir 2.8 peratus berbanding dolar AS.

Ketika ini, minyak mentah Brent mencecah US$74 setong, manakala West Texas Intermediate melepasi US$70 setong, disokong oleh jangkaan peningkatan permintaan dari China berikutan langkah rangsangan baharu di samping penurunan inventori minyak mentah AS sebanyak 3.2 juta tong minggu lepas.

Dilaporkan pihak berkuasa China akan mengeluarkan bon perbendaharaan khas US$411 bilion tahun depan apabila Beijing meningkatkan rangsangan fiskal untuk memulihkan ekonominya yang sedang bergelut.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata jangkaan terhadap pemulihan ekonomi global berkemungkinan memacu lonjakan permintaan minyak yang sekali gus menyokong prestasi ringgit.

Ringgit juga terus diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 2.8373/8405 daripada 2.8547/8586 ketika ditutup pada Selasa, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5967/6023 daripada 5.6209/6278, dan meningkat berbanding euro kepada 4.6448/6495 daripada 4.6603/6660.

Mata wang tempatan itu turut menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding kebanyakan mata wang negara ASEAN.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2875/2913 daripada 3.2979/3024 pada penutup sebelumnya, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 275.8/276.3 daripada 276.9/277.4 dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0340/0543 daripada 13.1283/1517. 

Bagaimanapun, ia menyusut berbanding peso Filipina pada 7.70/7.71 berbanding 7.66/7.68 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan