PASARAN > BERITA

MASA HADAPAN MSM DITUTUP LEBIH RENDAH

08/01/2025 09:52 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu, berikutan sentimen pasaran dan asas yang terus tidak menentu, kata Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa.

Beliau menjelaskan momentum pembelian pada awal dagangan adalah lemah disebabkan kekurangan asas positif baharu untuk menyokong kenaikan harga. Ini menyebabkan peniaga mengalihkan tumpuan mereka kepada minyak sayuran berkaitan bagi petunjuk perdagangan.

“Pengeluaran data bekalan dan permintaan Disember, yang dijadualkan pada Jumaat, 10 Januari, bersama-sama dengan jangkaan eksport yang lembap dalam sepuluh hari pertama Januari, menyebabkan niaga hadapan sawit terkawal. Bagaimanapun, sentimen berterusan bekalan yang terhad pada suku pertama menghalang penurunan harga yang mendadak,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga MSM ditutup lebih rendah hari ini berikutan prospek eksport yang tidak bermaya dalam beberapa minggu akan datang. 

“Kami melihat sokongan pada RM4,250 dan rintangan pada RM4,430 satu tan,” kata Ng kepada Bernama.

Pada penutup, kontrak Januari 2025 serta Februari 2025 masing-masing turun RM2 kepada RM4,711 dan RM4,504 satu tan.

Mac 2025 susut RM11 kepada RM4,354 satu tan, April 2025 merosot RM5 kepada RM4,262 satu tan, Mei 2025 menambah RM5 kepada RM4,202 satu tan dan Jun 2025 naik RM13 kepada RM4,168.

Jumlah dagangan susut kepada 78,596 lot berbanding 97,738 lot yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka turun kepada 227,006 kontrak daripada 231,390 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan kekal tidak berubah pada RM4,750 tan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan