Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meneruskan momentum meningkatnya minggu depan disokong oleh lantunan semula susulan aktiviti jualan selama empat hari berturut-turut, kata seorang penganalisis.
Ketua penyelidikan pelaburan OB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata aktiviti membeli saham berharga rendah yang berterusan dijangka menyokong pemulihan indeks.
“Setakat 17 Jan, FBM KLCI merekodkan penurunan sebanyak 4.60 peratus atau 75.61 mata bagi tahun ini, yang kami percaya memberi peluang tepat pada masanya untuk pelabur mengumpul saham mewah.
"Musim pelaporan pendapatan Amerika Syarikat (AS) juga dijangka menjadi pemangkin utama kepada sentimen pelabur,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata walaupun turun naik pasaran yang berterusan disebabkan oleh keadaan dinamik, asas ekonomi Malaysia terus kekal kukuh.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku keempat 2024 diunjurkan pada 4.8 peratus, menjadikan pertumbuhan setahun penuh kepada 5.1 peratus.
Ini menyerlahkan daya tahan ekonomi Malaysia di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang mencabar, kata Mohd Sedek.
Selain itu, data KDNK 2024 China, yang dikeluarkan pada Jumaat minggu lepas, menunjukkan pecutan daripada pertumbuhan 4.6 peratus pada suku ketiga 2024 kepada 5.4 peratus pada suku keempat, menjadikan kadar pertumbuhan setahun penuh sebanyak 5.0 peratus
“Prestasi teguh ekonomi China, didorong oleh peningkatan permintaan luar yang membantu negara itu mencapai sasaran KDNKnya, merupakan perkembangan positif bagi Malaysia, memandangkan hubungan perdagangan yang kukuh antara kedua-dua negara dan potensi manfaat bagi sektor dipacu eksport Malaysia.
“Selain itu, jualan runcit di China menunjukkan tanda pemulihan yang menggalakkan, meningkat daripada pertumbuhan 3.0 peratus pada November 2024 kepada 3.7 peratus pada Disember, yang mengukuhkan permintaan serantau dan meningkatkan prospek eksport Malaysia,” katanya.
Pada Isnin minggu depan, Mohd Sedek berkata, perhatian global akan beralih kepada upacara mengangkat sumpah Presiden AS yang baharu Donald Trump, yang boleh mencetuskan semula minat terhadap saham sektor teknologi, saham bermodal kecil dan mata wang kripto.
“Para pelabur optimis tentang dasar pro-pertumbuhan, termasuk tarif dan potensi pemotongan cukai.
“Bagaimanapun, dengan pasaran AS ditutup pada hari Isnin sempena Hari Martin Luther King Jr, pasaran Asia akan memberikan tindak balas terlebih dahulu terhadap upacara mengangkat sumpah tersebut, dipandu oleh prestasi Wall Street daripada sesi sebelumnya,” katanya
Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI susut 35.69 mata kepada 1,566.72 daripada 1,602.41 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas turun 293.94 mata kepada 12,008.23, Indeks FBMT 100 susut 287.89 mata kepada 11,695.97 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 385.08 mata kepada 11,865.66.
Indeks FBM 70 susut 521.66 mata kepada 17,945.88 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 177.21 mata kepada 5,176.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 115.67 mata kepada 18,808.87, Indeks Perladangan turun 174.18 mata kepada 7,336.44, Indeks Penjagaan Kesihatan berkurangan 67.54 mata kepada 2,191.98, Indeks Teknologi jatuh 1.84 mata kepada 60.74 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.01 mata kepada 166.65.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga meningkat 7.25 mata kepada 840.55.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 16.31 bilion unit bernilai RM14.50 bilion daripada 16.98 bilion unit bernilai RM14.37 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 8.41 bilion unit bernilai RM13.19 bilion daripada 8.71 bilion unit bernilai RM12.78 bilion.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 5.24 bilion unit bernilai RM497.54 juta daripada 5.51 bilion unit bernilai RM556.96 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 2.55 bilion unit bernilai RM811.14 juta daripada 2.75 bilion unit bernilai RM1.03 bilion sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial