PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH SUSULAN PENYUSUTAN PASARAN SOYA, MINYAK MENTAH

04/02/2025 09:53 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mencatat prestasi sebaliknya apabila ditutup lebih rendah pada hari ini berbanding peningkatan semalam.

Perkembangan itu didorong oleh kelemahan pasaran minyak soya selain penyusutan harga minyak mentah global.

“(Berikutan itu) kami melihat paras sokongan harga MSM pada RM4,250 satu tan manakala rintangan pada RM4,400 satu tan,” kata Peniaga Minyak Sawit David Ng kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani menyifatkan penangguhan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Mexico dan Kanada, hanya menambah tekanan terhadap minyak sawit ketika permintaan terus suram susulan harganya yang premium.

Beliau berkata data Persatuan Pengilang-Pengilang Sawit Selatan Semenanjung menunjukkan pengeluaran minyak sawit pada Januari 2025 telah merosot sebanyak 15.19 peratus berbanding Disember 2024 ketika pasaran menunggu pengumuman data pengeluaran minyak sawit Malaysia yang lebih menyeluruh.

Dalam pada itu, jurunilai kargo ITS berkata eksport minyak sawit bagi Januari juga kekal lemah pada 1,192,328 tan yang merupakan penyusutan sebanyak 12.30 peratus.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Februari 2025 turun RM55 kepada RM4,416 satu tan, Mac 2025 berkurangan RM59 kepada RM4,308 manakala April 2025 merosot RM54 kepada RM4,227.

Kontrak Mei 2025 pula menguncup RM50 kepada RM4,168 satu tan, Jun 2025 turun RM55 kepada RM4,123 dan Julai 2025 berkurangan RM60 kepada RM4,094.

Jumlah dagangan turut berkurangan kepada 58,027 lot daripada 62,329 lot semalam manakala kepentingan terbuka naik kepada 220,432 kontrak daripada 219,875 sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan berkurangan RM40 kepada RM4,650 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan