Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri urus niaga Jumaat dengan lebih tinggi bagi hari keempat berturut-turut, didorong oleh belian saham-saham, terutama teknologi dan pembinaan menjelang pengumuman laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) pada lewat hari ini, kata penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk utama FBM KLCI ditutup dalam wilayah positif ketika pelabur terus giat memburu saham mewah susulan aktiviti penjualan baru-baru ini.
Pada jam 5 petang ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.36 peratus atau 5.74 mata kepada 1,590.91 daripada paras 1,585.17 pada akhir dagangan semalam.
Indeks petunjuk utama yang dibuka 1.55 mata lebih rendah pada 1,583.62, bergerak dalam julat 1,582.92 hingga 1,591.49 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 642 berbanding 369 manakala 478 kaunter tidak berubah, 828 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan kekal pada 2.93 bilion unit namun nilainya meningkat kepada RM2.22 bilion berbanding 2.93 bilion unit bernilai RM2.10 bilion, semalam.
Mengulas pasaran serantau, Thong berkata prestasi pasaran itu bercampur-campur susulan petunjuk semalaman Wall Street.
Pasaran China dan Hong Kong menerajui peningkatan di rantau itu, dipacu oleh minat belian baharu dalam firma teknologi susulan pelancaran model kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek.
“Bagi bursa tempatan, FBM KLCI sedang menguji paras rintangan 1,590 dan jika dapat bertahan lebih lama, ini akan mewujudkan asas kukuh bagi peningkatan yang berterusan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur akan menumpukan pengumuman Laporan Penggajian Bukan Perladangan AS bagi Januari 2025 yang dijangka memaparkan pertumbuhan pekerjaan lebih perlahan pada 170,000 -- meningkat daripada angka unjuran awal.
Kadar pengangguran diunjurkan kekal stabil pada 4.1 peratus manakala purata pendapatan bagi setiap jam dijangka meningkat sebanyak 0.3 peratus sebulan.
"Namun, data pasaran tenaga kerja mungkin terjejas akibat perkembangan baru-baru ini, termasuk kebakaran hutan di Los Angeles dan ribut salji yang memberi kesan ke atas beberapa negeri di selatan AS pada bulan lepas.
“Sepertimana impak akibat taufan pada musim panas lepas, ini akan memberi kesan kepada usaha penciptaan pekerjaan yang dilaporkan, sebahagiannya disebabkan oleh proses pengumpulan data yang terjejas," kata Mohd Sedek.
Sementara itu, saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB naik 17 sen kepada RM8.39, YTL Power menokok 21 sen kepada RM3.44 sen, YTL Corporation meraih 5.0 sen kepada RM2.02, Gamuda menambah 14 sen kepada RM4.56 dan Telekom Malaysia meningkat 11 sen kepada RM6.75.
Bagi saham aktif, Key Alliance kekal tidak berubah pada setengah sen, MyEG Services naik 3.5 sen kepada RM1.02 manakala TWL, Velesto Energy dan Supermax masing-masing kekal pada 2.5 sen, 19 sen dan RM1.20.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 58.13 mata kepada 12,149.53, Indeks FBMT 100 menokok 55.11 mata kepada 11,840.06 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 44.44 mata kepada 11,985.64.
Indeks FBM ACE susut 4.16 mata kepada 5,260.35 namun Indeks FBM 70 melonjak 132.56 mata kepada 18,033.53.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 83.69 mata kepada 19,233.44, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.06 mata kepada 166.51 manakala Indeks Perladangan susut 14.44 mata kepada 7,453.90 dan Indeks Tenaga berkurangan 1.04 mata kepada 826.44.
Jumlah dagangan Pasaran Utama kekal pada 1.37 bilion unit namun nilainya meningkat kepada RM1.94 bilion daripada RM1.72 bilion, semalam.
Waran meningkat kepada 1.03 bilion unit bernilai RM113.20 juta berbanding 996.00 juta unit bernilai RM116.13 juta, sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan menguncup kepada 527.66 juta unit bernilai RM163.86 juta berbanding 561.91 juta unit bernilai RM263.44 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 167.43 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (244.52 juta), pembinaan (96.25 juta), teknologi (239.53 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (60.06 juta), hartanah (198.42 juta), perladangan (194.47 juta), REIT (85.41 juta), dana tertutup (5,500), tenaga (141.97 juta), penjagaan kesihatan (91.00 juta), telekomunikasi dan media (18.34 juta), pengangkutan dan logistik (13.51 juta), utiliti (82.21 juta) serta amanah perniagaan (31,600).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial