Oleh NurulJannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi hampir tidak berubah pada Jumaat, dipengaruhi oleh ketidaktentuan perang perdagangan global dan kemungkinan impaknya terhadap inflasi Amerika Syarikat (AS).
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.36 mata kepada 1,590.92 daripada 1,592.28 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks utama pasaran itu dibuka 0.63 mata lebih tinggi kepada 1,592.91 dan bergerak antara 1,590.07 hingga 1,595.01.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 448 berbanding 379, manakala 465 kaunter tidak berubah, 1,027 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.84 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.
Penganalisis berkata turun naik ketara masih berterusan walaupun pasaran mengalami kelegaan susulan kelewatan pelaksanaan tarif timbal balik oleh Presiden AS, Donald Trump.
Selain itu, pasaran serantau menunjukkan prestasi bercampur-campur, sekali gus mendorong sedikit rangsangan kepada pasaran tempatan.
Beliau berkata di peringkat tempatan, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang dikeluarkan hari ini adalah terhad kerana telah diambil kira oleh kalangan pelabur.
Ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2024, dalam julat sasaran kerajaan antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus tahun ke tahun.
KDNK Malaysia juga berkembang sebanyak 5.0 peratus pada suku keempat 2024.
Antara saham berwajaran tinggi, CelcomDigi merosot 27 sen kepada RM3.60, Petronas Chemicals turun sembilan sen kepada RM4.01, dan 99 Speed Mart kurang tujuh sen kepada RM2.13.
Sementara itu, IHH, Press Metal dan Sunway masing-masing meningkat tujuh sen kepada RM7.28, RM5.03 dan RM4.69 sekali gus mengehadkan penurunan seterusnya yang dialami indeks utama.
Dialog mendahului kaunter aktif, susut 31 sen kepada RM1.50, manakala Harvest Miracle kekal pada 14.5 sen.
YBS International susut 14.5 sen kepada 62.5 sen dan Aizo turun setengah sen kepada 11.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 20.97 mata kepada 12,106.17, Indeks FBMT 100 kurang 22.01 mata pada 11,807.36, dan Indeks FBM Emas Shariah susut 58.33 mata kepada 11,874.76.
Indeks FBM 70 merosot 80.02 mata kepada 17,855.33 dan Indeks FBM ACE kurang 44.27 mata kepada 5,174.97.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 49 mata kepada 19,294.24 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.06 mata kepada 164.23.
Indeks Perladangan turun 5.27 mata kepada 7,476.38, dan Indeks Tenaga menguncup 20.89 mata kepada 797.47.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial