PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH SEMASA AKHIR SESI DAGANGAN PAGI

18/02/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Selasa berikutan penjualan berlaku di kaunter wajaran tinggi, terutama Malayan Banking Bhd dan Petronas Chemicals Group Bhd.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.08 mata kepada 1,581.68 daripada 1,582.76 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks yang menjadi penanda aras itu dibuka 2.54 mata lebih rendah kepada 1,580.22 sebelum bergerak antara 1,575.68 hingga 1,584.01 sepanjang sesi itu.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 439 berbanding 362, manakala 457 kaunter tidak berubah, 1,067 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.88 bilion unit bernilai RM983.83 juta.

Menerusi nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd menjelaskan kebanyakan pasaran Asia merekodkan prestasi lebih tinggi, didorong oleh optimisme terhadap pertemuan Presiden China Xi Jinping dengan kalangan usahawan terkenal di samping kemungkinan kesan model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek.

Bank pelaburan itu menambah, perkembangan itu memberikan harapan bahawa pihak berkuasa mungkin melakukan pendekatan yang lebih mesra perniagaan untuk merangsang ekonomi, walaupun wujud kebimbangan berterusan terhadap kenaikan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan kemungkinan berlaku perang perdagangan yang semakin meruncing.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan pasaran global akan memantau rundingan damai antara AS dan Rusia mengenai penamatan perang di Ukraine, yang akan diadakan di Arab Saudi minggu ini dan dihadiri oleh pegawai tertinggi dari kedua-dua negara.

Firma runcit utama Walmart dan Alibaba turut dijangka mengumumkan prestasi kewangan masing-masing minggu ini, tambahnya.

“Bagi China dan Hong Kong, kami yakin simposium yang dihadiri oleh kebanyakan pemimpin perniagaan China akan meningkatkan sentimen terhadap bursa saham China dan Hong Kong,” jelas firma pembrokeran itu.

Malacca Securities juga memaklumkan Malaysia mencatatkan peningkatan akaun semasa pada 2024, dipacu oleh eksport yang kukuh dan kerancakan semula aktiviti pelancongan.

“Kami yakin sektor pelancongan akan terus kukuh menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, yang akan memberi manfaat kepada kaunter-kaunter berkaitan dengan penerbangan, hotel, pusat beli-belah, taman tema dan ekonomi digital.

“Sementara itu, eksport yang lebih kukuh, disokong kenaikan dolar AS, ketegangan perdagangan AS-China yang berterusan, dan permintaan berlanjutan dalam bidang AI, akan memberi manfaat kepada sektor berorientasi eksport seperti teknologi dan sarung tangan,” tambahnya.

Antara kaunter berwajaran tinggi, Maybank susut 10 sen kepada RM10.46, CIMB menambah enam sen kepada RM8.36, Public Bank naik satu sen kepada RM4.48, manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing meningkat dua sen kepada RM13.94 dan RM7.27.

TechStore yang baru disenaraikan di Pasaran ACE menerajui kaunter aktif apabila naik tiga sen kepada 23 sen, diikuti oleh MYEG yang menokok dua sen kepada RM1.03 dan Dialog Group meningkat enam sen kepada RM1.62.

Harvest Miracle dan RichTech Digital masing-masing turun satu sen kepada 14 sen dan 31 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 2.71 mata kepada 12,047.83, Indeks FBMT 100 menokok 3.08 mata kepada 11,755.04, Indeks FBM Emas Shariah menambah 6.84 mata kepada 11,780.67 dan Indeks FBM 70 meningkat 48.29 mata kepada 17,839.96.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 26.76 mata kepada 5,102.19.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan kurang 31.64 mata kepada 7,401.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.21 mata kepada 163.71, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 9.52 mata kepada 19,279.96 dan Indeks Tenaga turun 2.51 mata kepada 795.78.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan