Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian pada Selasa, didorong oleh belian lewat dalam saham wajaran tinggi dan sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.08 mata kepada 1,584.84 daripada 1,582.76 semalam.
Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah 2.54 mata kepada 1,580.22, kemudiannya mencecah paras terendah pada 1,575.68 pada sesi awal sebelum belian lewat mendorongnya kepada zon positif.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 643 berbanding 397 manakala 477 kaunter tidak berubah, 808 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.61 bilion unit bernilai RM2.64 bilion daripada 3.27 bilion unit bernilai RM2.40 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup dengan sedikit perubahan berikutan pelabur kekal fokus kepada data ekonomi dan perkembangan dasar di bawah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, kedua-duanya boleh mempengaruhi keputusan bank pusat yang akan datang.
“Bagaimanapun, tarif timbal balas yang dicadangkan oleh Trump dijangka memberikan sokongan terhadap penurunan,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun naik 0.25 peratus kepada 39,270.40, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.53 peratus kepada 3,925.56, Kospi Korea Selatan melonjak 0.63 peratus kepada 2,626.81, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.59 peratus kepada 22,976.81 manakala Indeks Komposit Shanghai China merosot 0.93 peratus kepada 3,324.49.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup dalam julat positif berikutan keyakinan pelabur terhadap saham teknologi China yang melonjak selepas perbincangan Presiden Xi Jinping dengan pemimpin perniagaan, dianggap sebagai rangsangan kepada industri.
“Sebaliknya, pasaran global kekal berhati-hati mengenai potensi impak inflasi daripada tarif baharu yang dikenakan oleh Trump, walaupun pelabur percaya presiden itu akan mengelak daripada meningkatkan ketegangan menjadi perang perdagangan.
“Bagi bursa tempatan, indeks petunjuk pasaran terus mendapat sokongan melebihi paras 1,580. Walaupun ditutup positif, kami mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap pasaran tempatan berikutan ketidaktentuan yang meningkat dan ketidakpastian makroekonomi,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Thong berkata sasaran mingguan FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat 1,570 hingga 1,600.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM10.54 manakala CIMB meningkat 10 sen kepada RM8.40, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing naik tiga sen kepada RM4.50 dan RM7.28 serta Tenaga Nasional menambah dua sen kepada RM13.94.
TechStore yang mula disenaraikan di Pasaran ACE menerajui kaunter aktif, naik dua sen kepada 22 sen, Ingenieur Gudang meningkat setengah sen kepada enam sen dan Dialog Group menambah enam sen kepada RM1.62 manakala Top Glove merosot 16 sen kepada RM1.00 dan Hartalega berkurangan 79 sen kepada RM2.61.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 40.87 mata kepada 12,004.25, Indeks FBMT 100 berkurangan 35.62 mata kepada 11,716.34 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 77.46 mata kepada 11,696.37.
Indeks FBM 70 jatuh 254.48 mata kepada 17,537.19 dan Indeks FBM ACE merosot 54.46 mata kepada 5,074.49.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 84.60 mata kepada 19,374.08, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.82 mata kepada 163.10, Indeks Perladangan berkurangan 2.86 mata kepada 7,430.08 dan Indeks Tenaga turun 6.51 mata kepada 791.78.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.53 bilion unit bernilai RM2.30 bilion daripada 1.34 bilion unit bernilai RM1.64 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.29 bilion unit bernilai RM124.48 juta daripada 1.01 bilion unit bernilai RM91.84 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 783.65 juta unit bernilai RM218.96 juta daripada 623.75 juta unit bernilai RM218.33 juta semalam.
Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 202.06 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (297.94 juta), pembinaan (85.07 juta), teknologi (152.56 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.86 juta), hartanah (120.64 juta), perladangan (23.29 juta), REIT (9.88 juta), dana tertutup (35,500), tenaga (154.13 juta), penjagaan kesihatan (327.43 juta), telekomunikasi dan media (30.91 juta), pengangkutan dan logistik (30.97 juta), utiliti (35.31 juta) dan amanah perniagaan (93,500).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial