PASARAN > BERITA

IILM: SUKUK JANGKA PENDEK US$710 JUTA TERLEBIH LANGGAN 2.15 KALI

18/02/2025 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) telah menyelesaikan penerbitan semula dan pengeluaran agregat sukuk jangka pendek sebanyak US$710 juta (US$1 = RM4.440), tersebar dalam dua tenor berbeza: kematangan satu bulan dan tiga bulan.

Kedua-dua siri ini berharga secara kompetitif pada 4.40 peratus untuk US$310 juta dengan tenor satu bulan dan 4.45 peratus pada harga US$400 juta dengan tenor tiga bulan.

Transaksi sukuk jangka pendek ini menandakan lelongan kedua Februari, yang menyaksikan persaingan yang kuat di kalangan peniaga utama dan pelabur global. 

Lelongan tersebut menarik tempahan dalam tangan sejumlah US$1.53 bilion, yang mewakili purata bidaan kepada terbitan sebanyak 215 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM, Mohamad Safri Shahul Hamid menjelaskan dengan lelongan ini, jumlah terbitan sukuknya bagi Februari berada pada US$1.76 bilion, menunjukkan permintaan yang berterusan untuk sukuk jangka pendek IILM.

“Kadar terlebih langgan ini mencerminkan keyakinan pelabur yang mendalam terhadap keupayaan IILM untuk secara konsisten memberikan penyelesaian yang berkualiti tinggi dan patuh syariah dalam keadaan pasaran yang dinamik,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Penerbitan ini menjadi sebahagian daripada program penerbitan sukuk jangka pendek US$6 bilion bertaraf  IILM “A-1” (S&P) dan “F1” (Fitch Ratings). Jumlah tunggakan semasa sukuk IILM ialah US$4.19 bilion. 

Sukuk jangka pendek IILM diedarkan melalui rangkaian peniaga utama yang semakin meningkat serta rangkaian di seluruh dunia seperti Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, Boubyan Bank, CIMB Islam Bank Bhd, Dukhan Bank, First Abu Dhabi Bank, Golden Global Investment Bank, Kuwait Finance House, Kuwait International Bank, Maybank Islam Bhd, Methhaq Islamic Banking dari Bank Muscat, Qatar Islamic Bank dan Standard Chartered Bank. 

Sebagai penerbit biasa sukuk jangka pendek merentasi pelbagai tenor dan jumlah, IILM terus memenuhi keperluan kecairan institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam.

IILM juga akan terus mengeluarkan semula instrumen kecairan jangka pendeknya secara bulanan berdasarkan kalendar terbitannya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan