Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini selepas laporan keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) merosot daripada jangkaan menjejaskan dolar US, mengukuhkan naratif bahawa pelonggaran dasar monetari di Amerika Syarikat harus diteruskan tahun ini.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.4100/4230 berbanding dolar US daripada 4.4210/4255 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bahawa Indeks Dolar AS (DXY) susut kepada 106.308 mata manakala bon Perbendaharaan AS dua dan 10 tahun masing-masing susut enam dan sepuluh mata asas kepada 4.07 peratus dan 4.30 peratus.
“Justeru, ringgit boleh mendapat sedikit keuntungan dengan dolar-ringgit AS berkemungkinan berlegar sekitar RM4.40 hingga RM4.41 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Mengenai data ekonomi AS terkini, Mohd Afzanizam berkata keyakinan pengguna AS jatuh kepada 98.3 mata pada Februari daripada 105.3 mata pada Januari, mewakili penurunan bulan ketiga berturut-turut.
“Ini menunjukkan bahawa pengguna AS menjadi lebih berhati-hati terhadap keadaan ekonomi AS terutamanya dalam konteks peningkatan kos sara hidup dengan dasar Trump mengenai tarif import berkemungkinan memburukkan lagi tekanan harga di negara ‘Uncle Sam’ itu,” katanya.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kejatuhan mendadak dalam hasil bon AS menjejaskan dolar US dengan ketara apabila pelabur menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang perlahan akan memaksa Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar faedah.
“Perubahan itu menjejaskan dolar US, turun dua peratus tahun setakat ini berbanding negara lain, memberi petunjuk bahawa jangkaan awal bahawa pemerintahan Donald Trump akan menstabilkan dolar US adalah tidak tepat,” katanya.
Dalam dagangan awal, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9597/9687 daripada 2.9552/9584 ketika ditutup semalam, turun berbanding pound Britain kepada 5.5879/6044 daripada 5.5806/5863 dan susut berbanding euro kepada 4.6393/6530 daripada 4.6301/6348.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.64 daripada 7.63/7.64 pada penutupan semalam, melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.0497/1005 daripada 13.1132/1324 dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 269.3/270.2 daripada 270.0/270.4.
Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3014/3116 daripada 3.2997/3034.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial