PASARAN > BERITA

RINGGIT MELONJAK BERBANDING DOLAR AS SUSULAN PENINGKATAN MINAT RISIKO GLOBAL

05/03/2025 09:02 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Ringgit melonjak berbanding dolar AS hari ini susulan kelemahan mata wang Amerika Syarikat itu dan disokong oleh peningkatan minat risiko global, kata seorang penganalisis.  

Pada 6 petang, unit tempatan mencatatkan peningkatan ketara kepada 4.4270/4320 berbanding dolar AS daripada 4.4635/4680 pada Selasa.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar AS mengalami penurunan pantas apabila data ekonomi AS yang lebih lemah mengimbangi sepenuhnya sebarang kesan negatif daripada tarif, membolehkan peniaga menilai semula jangkaan pertumbuhan dan beralih kepada mata wang serantau seperti ringgit.

“Menambah kepada momentum positif itu adalah keputusan Beijing untuk mengekalkan sasaran pertumbuhan pada 5.0 peratus yang menyediakan sokongan kukuh kepada pasaran Asia, meningkatkan kestabilan aset serantau,” katanya kepada Bernama. 

Innes berkata pakej rangsangan besar-besaran Jerman telah mencetuskan gelombang positif di seluruh pasaran global, terutamanya di ekonomi Asia yang bergantung besar kepada eksport seperti Malaysia, yang berpeluang mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan Eropah.

“Dengan peningkatan kukuh euro dan sentimen pertukaran asing global beralih kepada dagangan berisiko, ringgit dijangka mencatatkan peningkatan ketara dengan jangkaan kemasukan aliran modal. 

“Selain itu, kemungkinan penarikan semula beberapa tarif di Amerika Utara turut menyumbang kepada keyakinan pasaran. Dengan daya tarikan ringgit, penyusutan dolar AS, kenaikan ringgit hari ini dijangka berterusan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain. 

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.6825/6889 daripada 5.6789/6846 pada Selasa, turun berbanding euro kepada 4.7409/7462 daripada 4.6916/6963 namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9614/9647 daripada 2.9956/9989. 

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3126/3166 daripada 3.3203/3242 pada Selasa, naik berbanding baht Thai kepada 13.1545/1756 daripada 13.1853/2057, tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 271.3/271.8 dan hanya berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.73 daripada 7.72/7.74. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan