Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup kebanyakannya lebih tinggi hari ini sepas disokong oleh kelemahan dalam dolar US serta keyakinan yang semakin meningkat untuk pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih mendalam, kata seorang penganalisis.
Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dengan dolar US di bawah tekanan dan jangkaan kadar faedah mula beralih, pasaran telah kembali kepada aliran tradisional iaitu "pemacuan emas" seperti dasar monetari dan lindung nilai inflasi.
"Buat masa ini, peniaga terkunci pada permainan makro tetapi tiada siapa yang tidak mengendahkan latar belakang risiko geopolitik semasa. Dengan ketidakpastian tarif masih lagi memuncak, ketegangan yang memanas di beberapa kawasan dan pasaran kewangan yang lebih luas dalam fluks, emas tetap menjadi lindung nilai utama terhadap ketidaktentuan yang tidak dijangka. Sekiranya risiko terus melonjak, perjalanan ke arah perdagangan yang selamat boleh mencetuskan kenaikan nilai logam berharga tetapi walau tanpa itu, persekitaran semasa tetap kekal mengukuh," katanya kepada Bernama.
Kontrak bulan Mac 2025 adalah lebih rendah pada US$2,925.30 setiap auns troy berbanding US$ 2,928.30 pada Selasa, manakala April 2025 menyusut kepada US$2,935.50 daripada US$2,939.10 sebelum ini. Bagaimanapun, Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 semuanya menokok kepada US$2,946.10 setiap auns troy daripada US$2,939.10.
Jumlah dagangan melantun kepada 176 lot berbanding 62 lot, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 209 kontrak daripada 98 kontraknya.
Berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 4 Mac, harga fizikal emas berada pada US$2,905.90 setiap auns troy.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial