PASARAN > BERITA

TEKANAN JUALAN ASAK BURSA MALAYSIA KEKAL RENDAH PADA TENGAH HARI

11/03/2025 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari Selasa susulan aktiviti jualan ketara membabitkan saham-saham bermodal rendah yang mengheret turun pasaran secara meluas.

Pada 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 13.81 mata atau 0.89 peratus kepada 1,522.65 daripada paras penutup 1,536.46 pada Isnin.  

Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 10.45 mata kepada 1,526.01, bergerak antara 1,519.76 hingga 1,527.19 ketika sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran juga kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 928 berbanding 113 manakala 308 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,025 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.26 bilion saham bernilai RM1.53 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata dasar perdagangan baharu Amerika Syarikat (AS) boleh mendorong peningkatan tindakan balas daripada rakan dagangnya yang berpotensi memperlahankan ekonomi global.

Firma pembrokeran itu berkata pada minggu ini, peniaga akan memantau dengan teliti data inflasi AS, indeks harga pengeluar dan tuntutan pengangguran negara maju itu untuk mengukur prospek dasar monetari dan sentimen ekonomi keseluruhan.

Selain itu, sentimen luar negara yang lebih lemah serta tekanan jualan juga mungkin berterusan di pasaran tempatan.

“Kami menjangkakan peniaga akan beralih kepada sektor agak stabil dan defensif pada ketika ini sebagai pendekatan yang lebih konservatif.

“(Pada masa ini) kami memihak sektor perbankan dan menjangkakan aktiviti memburu saham berharga rendah akan berlaku memandangkan sektor itu disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang stabil dan dividen menarik manakala REIT dujangka mendapat tarikan di tengah-tengah pemulihan," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Petronas Gas masing-masing turun empat sen kepada RM10.54 dan RM16.64, IHH Healthcare susut tujuh sen kepada RM7.23 namun CelcomDigi naik dua sen kepaa RM3.57 manakala Sime Darby meraih tiga sen kepada RM2.11.

Bagi saham aktif, MYEG turun 2.5 sen kepada 88 sen, Nationgate susut dua sen kepada RM1.12 manakala Velesto rugi setengah sen kepada 15 sen, NEXG dan KNM pula tidak berubah pada 26 sen dan 5.0 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 150.97 mata kepada 11,262.12, Indeks FBM 70 merosot 324.43 mata kepada 15,801.56, Indeks FBM Emas Shariah susut 183.59 mata kepada 10,844.64, Indeks FBM ACE berkurangan 126.81 mata kepada 4,395.53 dan Indeks FBMT 100 menguncup 133.66 mata kepada 11,064.17.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 90.97 mata kepada 7,327.74, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 122.19 mata kepada 18,846.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.77 mata kepada 150.88 dan Indeks Tenaga berkurangan 21.92 mata kepada 686.11.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan