Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 19 Mac ini, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat FOMC itu penting memandangkan peserta pasaran akan meneliti unjuran makroekonomi terkini, terutama Kadar Dana Persekutuan (FFR).
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4100/4175 berbanding dolar AS daripada 4.4200/4235 ketika ditutup semalam.
Beliau berkata kontrak niaga hadapan kadar faedah menunjukkan kemungkinan pengurangan kadar yang lebih tinggi pada Mei, Jun, Julai dan September, dengan FFR dijangka antara 3.50 hingga 3.75 peratus akhir tahun ini.
“Ini mencadangkan pengurangan FFR sebanyak 75 hingga 100 mata asas, yang akan merapatkan jurang dengan kadar dasar semalaman (OPR).
“Sekali gus boleh menjadi petanda baik bagi ringgit sekiranya OPR kekal tidak berubah sepanjang tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata pasaran ekuiti mengalami penurunan meluas, dengan peniaga dan pelabur bimbang mengenai kelemahan ekonomi global yang boleh memberi kesan ketara kepada pendapatan korporat tahun ini.
Indeks Dolar AS (DXY) juga masih berlegar sekitar 103 mata dan telah susut sebanyak 0.14 peratus, katanya.
“Ini memandangkan mata wang utama dalam konstituen DXY seperti euro, pound British, yen Jepun, dolar Kanada, krona Sweden dan franc Switzerland telah meningkat berbanding dolar AS,” katanya.
Ringgit diniagakan lebih tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9921/9974 daripada 3.0013/0039 ketika ditutup pada Isnin, dan naik berbanding pound British kepada 5.7035/7132 daripada 5.7080/7125.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding euro kepada 4.8091/8173 daripada 4.7992/8030.
Ringgit juga diniagakan lebih tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.3118/3177 daripada 3.3211/3242 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0415/0695 daripada 13.0777/0943.
Ringgit juga lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 268.7/269.3 daripada 270.0/270.3 semalam bagaimanapun, ringgit hampir mendatar berbanding peso Filipina pada 7.70/7.72 daripada 7.70/7.71.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial