PASARAN > BERITA

FBM KLCI DITUTUP TINGGI MELANTUN SEMULA DARIPADA PENURUNAN 5 HARI

13/03/2025 08:20 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) muncul sebagai indeks yang mencatatkan prestasi tertinggi di rantau ini hari ini, meningkat 1.69 peratus apabila melantun semula daripada penurunan lima hari, dipacu oleh aktiviti membeli saham berharga rendah. 

Pada 5 petang, FBM KLCI melonjak 25.20 mata kepada 1,510.03 daripada paras penutup 1,484.83 pada Rabu.

Petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 3.96 mata untuk ditutup kepada 1,488.79 dan bergerak antara paras 1,487.0 dan 1,513.97 sepanjang hari dagangan. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 651 berbanding 244, manakala 522 kaunter tidak berubah, 973 tidak diniagakan dan 13 digantung. 

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.25 bilion unit bernilai RM2.90 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM3.37 bilion pada Rabu.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penurunan sebelum ini telah menyebabkan indeks berada dalam situasi pembetulan teknikal seterusnya mendorong pelabur untuk membeli saham berharga rendah dengan asas yang kukuh. 

Bagaimanapun, tidak semua indeks serantau pulih daripada penjualan semalam kerana kebanyakan daripada indeks tersebut terus mencatatkan penurunan.

“Dalam kalangan komponen FBM KLCI, saham pembinaan dan perbankan menerajui kenaikan hari ini. Saham yang teruk terjejas akibat penjualan semalam melantun dengan kukuh, pulih daripada penurunan sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, memandangkan penyepaduan meluas Asia ke dalam rantaian bekalan global, kemelesetan ekonomi di negara Barat mungkin memberi kesan negatif terhadap permintaan bagi barangan Asia, seterusnya menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi rantau ini.

Di bursa tempatan, indeks petunjuk pasaran kekal terlebih jual meskipun aktiviti membeli saham berharga rendah hari ini. 

“Oleh itu kami menjangkakan aktiviti membeli saham akan berterusan. Kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam jajaran 1,500-1,530 menjelang hujung minggu,” katanya.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Public Bank naik 15 sen kepada RM4.48, CIMB meningkat 25 sen kepada RM7.25, Tenaga Nasional menambah 40 sen kepada RM13.40, Sunway menokok 24 sen kepada RM4.41 manakala Petronas Gas turun 32 sen kepada RM16.60.

Dalam kalangan saham cergas, Sapura Energy dan Ta Win naik setengah sen masing-masing kepada 4.5 dan 3.5 sen, Nationgate meningkat 14 sen kepada RM1.31, manakala Minyak Borneo dan Velesto tidak berubah masing-masing pada satu sen dan 15.5 sen. Saliran yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE turun enam sen kepada 21 sen selepas dibuka pada 27.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 199.33 mata kepada 11,250.55, Indeks FBMT 100 naik 194.74 mata kepada 11,031.01, Indeks FBM Emas Shariah menokok 171.29 mata kepada 10,905.78, Indeks FBM ACE menambah 131.57 mata kepada 4,530.54 dan Indeks FBM 70 melonjak 324.80 mata kepada 15,989.13.

.Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 371.41 mata kepada 18,572.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 3.38 mata kepada 152.33, Indeks Tenaga naik 21.25 mata kepada 705.57 dan Indeks Perladangan mengukuh 37.61 mata kepada 7,331.65.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.93 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 1.83 bilion unit bernilai RM3.16 bilion pada hari Rabu.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 803.42 juta unit bernilai RM86.46 juta daripada 9.58 juta unit bernilai RM108.03 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 513.55 juta unit bernilai RM165.07 juta daripada 304.75 juta unit bernilai RM98.58 juta. 

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 185.26 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (514.94 juta), pembinaan (127.07 juta), teknologi (248.97 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (132.24 juta), hartanah (161.24 juta),  perladangan (31.19 juta), REITS (24.56 juta), dana tertutup (38,600), tenaga (318.94 juta), penjagaan kesihatan (66.45 juta), telekomunikasi dan media (36.53 juta), pengangkutan dan logistik (28.89 juta), utiliti (55.89 juta), dan amanah perniagaan (262,60 juta).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan