KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi Isnin dengan lebih tinggi, didorong oleh pemulihan minat belian dalam kaunter saham wajaran tinggi perbankan dan produk pengguna.
Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 2.94 mata atau 0.20 peratus kepada 1,508.39 daripada 1,505.45 pada akhir dagangan Jumaat.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.05 mata kepada 1,506.50.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 522 berbanding 234 manakala 410 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,260 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.85 bilion saham bernilai RM914.83 juta.
Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata wujud peluang perdagangan dalam sektor pengangkutan dan logistik, khususnya yang berkaitan dengan pengendalian kontena dan kargo konvensional selepas Westports Holdings Bhd mencatat prestasi lebih baik.
“Walaupun semakan semula tarif pelabuhan itu ditunda, kami menjangkakan perbelanjaan modal akan merangsang pertumbuhan bagi jangka panjang,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Firma pembrokeran itu menyifatkan pengumuman Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan "tekanan maksimum" bagi mengeluarkan bekalan minyak Iran daripada pasaran global, akan mengehadkan lagi bekalan minyak global.
“Ini digabungkan dengan rancangan baharu OPEC+ untuk mengurangkan minyak sebanyak 189,000 hingga 435,000 tong sehari, berkemungkinan memberi sokongan tambahan untuk harga minyak mentah yang dapat dilihat menerusi potensi minat perdagangan dalam sektor minyak dan gas," katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 8.0 sen kepada RM10.26, CIMB Group dan IHH Healthcare masing-masing menokok 6.0 sen kepada RM6.91 dan RM6.96 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.49 dan Tenaga Nasional kekal pada RM13.56.
Bagi saham aktif, Pertama Digital dan Bina Puri masing-masing naik setengah sen kepada 16.5 sen dan 33 sen, Saliran Group susut 1.5 sen kepada 24 sen, Malayan United Industries turun setengah sen kepada 5.5 sen manakala Kinergy Advancement tidka berubah pada 32.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 14.60 mata kepada 11,291.19, Indeks FBMT 100 turun 7.88 mata kepada 11,053.50 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 27.30 mata kepada 10,999.81.
Indeks FBM 70 merosot 128.30 mata kepada 16,159.71 dan Indeks FBM ACE turun 20.80 mata kepada 4,803.84.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 4.66 mata kepada 18,435.17, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.37 mata kepada 152.06, Indeks Tenaga berkurangan 1.47 mata kepada 750.33 dan Indeks Perladangan naik 14.08 mata kepada 7,464.01.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial