Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan aliran menurun hari ini dairpada Jumaat lepas dalam persekitaran kebimbangan terhadap permintaan eksport yang rendah susulan kenaikan harga komoditi itu baru-baru ini, kata seorang peniaga sawit David Ng.
Ng berkata harga minyak kacang soya yang lebih rendah turut menyumbang kepada sentimen lebih lemah dalam pasaran minyak sawit.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,150 satu tan dan paras rintangan pada RM4,380 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh minggu apabila peniaga menumpukan perhatian kepada prospek pengeluaran yang meningkat dan penurunan eksport untuk bulan kelima berturut-turut.
Beliau berkata trend ini meningkatkan prospek paras stok akhir bulan Mac yang lebih tinggi selepas penurunan bulan kelima secara beterusan.
Pada penutup dagangan, kontrak April 2025 turun RM62 kepada RM4,589 satu tan, Mei 2025 merosot RM75 kepada RM4,432 dan Jun 2025 jatuh RM70 kepada RM4,305, Julai 2025 menguncup RM62 kepada RM4,198, Ogos 2025 merosot RM52 kepada RM4,125, manakala September 2025 susut RM42 to RM4,083.
Jumlah dagangan meningkat kepada 86,568 lot daripada 76,908 pada penutupan Jumaat, manakala kepentingan terbuka terbuka berkurangan kepada 256,661 kontrak daripada 256,932 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan jatuh RM80 kepada RM4,400 setan metrik.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan