Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan trend meningkat untuk hari kedua berturut-turut hari ini berikutan pembelian saham telekomunikasi dan pengguna.
Menurut penganalisis, kebanyakan indeks utama Asia turut ditutup tinggi, didorong oleh kebimbangan yang reda terhadap rancangan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.29 peratus atau 4.45 mata kepada 1,518.05 daripada 1,513.60 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka menokok 3.10 mata kepada 1,516.61 dan bergerak antara 1,514.65 dan 1,525.73 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 428 berbanding 398 manakala 481 kaunter tidak berubah, 1,162 tidak diniagakan dan 46 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.11 bilion unit bernilai RM2.46 bilion daripada 3.12 bilion unit bernilai RM2.50 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minat belian banyak tertumpu kepada kaunter teknologi memandangkan tumpuan beralih kepada kemajuan kecerdasan buatan (AI) di China dan jangkaan mengenai sokongan ekonomi selanjutnya dari Beijing.
Beliau berkata pelabur akan memantau dengan teliti indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS pada Jumaat (28 Mac) untuk mendapatkan pandangan terkini mengenai jangkaan hala tuju yang akan dilaksanakan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menentukan kadar faedah dalam tempoh terdekat.
"Walaupun sentimen semakin baik, kami terus mengambil pendekatan berhati-hati di dalam negara dengan mengambil kira kepelbagaian prospek pelabur.
"FBM KLCI dilihat mengukuh dengan peningkatan yang sederhana. Sekiranya indeks petunjuk pasaran dapat bertahan melepasi 1,520 dengan jumlah dagangan yang kukuh, kami melihat potensi peningkatan kepada 1,549-1,570.
“Sehingga angka itu berjaya ditembusi, kami mengekalkan julat asas pada 1,500-1,530," kata Thong kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur semakin tertarik kepada ekuiti telekomunikasi, didorong oleh dinamik risiko-ganjaran yang mempunyai daya tarikan, langkah berhemat dalam persekitaran semasa dengan turun naik pasaran yang tinggi.
"Selain itu, gabungan berprofil tinggi antara pengendali telekomunikasi utama di Indonesia telah memberi dorongan baharu, membangkitkan semula minat sektor dan meningkatkan sentimen.
"Peralihan struktur ini dijangka menarik aliran masuk modal tambahan dan mengukuhkan keyakinan pasaran pada masa depan," kata Mohd Sedek.
Di luar negara, beliau berkata pelabur akan memantau dengan teliti perubahan dasar dan petunjuk makroekonomi untuk menilai ketahanan sentimen pasaran.
Bagi saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Axiata meningkat 9.0 sen kepada RM1.87, Maxis menokok 10.0 sen kepada RM3.36, Public Bank dan CelcomDigi masing-masing naik 3.0 sen kepada RM4.47 dan RM3.48 manakala CIMB menambah 4.0 sen kepada RM7.04.
Bagi saham aktif, Chemlite Innovation yang mula disenaraikan di Pasaran ACE susut 2.0 sen kepada 23 sen, Reneuco rendah setengah sen kepada 4.5 sen, Pertama Digital berkurangan 2.0 sen kepada 13.5 sen manakala Nationgate dan Genting Malaysia masing-masing merosot 4.0 sen kepada RM1.34 dan RM1.70.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 25.82 mata kepada 11,377.32, Indeks FBMT 100 naik 26.02 mata kepada 11,134.44 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 33.64 mata kepada 11,123.84.
Indeks FBM 70 meningkat 11.91 mata kepada 16,318.47 manakala Indeks FBM ACE rendah 13.97 mata kepada 4,731.83.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 58.21 mata kepada 18,481.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.26 mata kepada 153.06, Indeks Perladangan menambah 16.58 mata kepada 7,454.25 dan Indeks Tenaga susut 1.84 mata kepada 752.74.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.22 bilion unit bernilai RM2.07 bilion daripada 1.35 bilion unit bernilai RM2.18 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.51 bilion unit bernilai RM261.42 juta berbanding 1.41 bilion unit bernilai RM224.60 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 370.39 juta unit bernilai RM123.36 juta daripada 349.96 juta unit bernilai RM101.92 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 174.10 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (216.15 juta),pembinaan (93.49 juta), teknologi (117.25 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (115.82 juta), hartanah (110.93 juta), perladangan (22.19 juta), REIT (11.23 juta), dana tertutup (68,400), tenaga (129.48 juta), penjagaan kesihatan (58.94 juta), telekomunikasi dan media (61.95 juta), pengangkutan dan logistik (28.84 juta), utiliti (83.27 juta), dan amanah perniagaan (183,400).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial