KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah ketika tengah hari pada Jumaat berikutan pengambilan untung selepas kenaikan kukuh berterusan baru-baru ini memberi tekanan kepada kaunter produk perindustrian, telekomunikasi dan perbankan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.24 peratus atau 3.69 mata kepada 1,532.04 daripada 1,535.73 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 4.16 mata lebih rendah kepada 1,531.57 dan bergerak antara 1,527.59 hingga 1,533.52 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 473 berbanding 300, manakala 379 kaunter tidak berubah, 1,320 kaunter tidak diniagakan dan 133 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.24 bilion saham bernilai RM922.79 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd pihaknya menjangkakan aktiviti memperelok akaun menyokong pasaran tempatan walaupun Wall Street ditutup rendah semalam.
“Kami mengekalkan unjuran positif terhadap sektor minyak dan gas, disokong oleh kempen tekanan maksimum Amerika Syarikat terhadap industri minyak Iran, yang boleh memberikan sokongan lanjut kepada harga minyak mentah Brent,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma pembrokeran itu memaklumkan kalangan pelabur juga mungkin menumpukan kepada Westports kerana mereka yakin perbelanjaan modal yang dibiayai melalui pelaburan semula dividen oleh pengendali pelabuhan itu akan memacu pertumbuhan jangka masa sederhana hingga panjang, walaupun terdapat kelewatan pelarasan tarif pelabuhan.
“Kami juga berpandangan Lim Seong Hai Capital sebagai saham yang terkurang nilai, disokong oleh prospek pertumbuhan perolehan yang kukuh dan nisbah perlindungan nilai perolehan kontrak yang teguh, melebihi tiga kali,” tambahnya.
Antara saham berwajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM13.62 dan IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM6.93.
CIMB Group dan Public Bank masing-masing susut satu sen kepada RM7.12 dan RM4.48, manakala Maybank kurang 2.0 sen kepada RM10.34.
Bagi kaunter aktif, HI Mobility yang baru disenaraikan di Pasaran Utama naik dua sen kepada RM1.24 dan Sapura Energy menambah setengah sen kepada 5.0 sen.
Pertama Digital dan Trive Property masing-masing kekal pada 11 sen dan 3.5 sen manakala NEXG merosot satu sen kepada 24.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 39.00 mata kepada 11,457.19, Indeks FBMT 100 menguncup 38.10 mata kepada 11,219.45 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 46.52 mata kepada 11,201.63.
Indeks FBM 70 merosot 99.61 mata kepada 16,373.22 dan Indeks FBM ACE meningkat 25.36 mata kepada 4,782.75.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 24.26 mata kepada 18,647.49 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang satu mata kepada 153.98.
Indeks Perladangan meningkat 31.07 mata kepada 7,472.38, dan Indeks Tenaga menambah 0.36 mata kepada 759.79.
Operasi Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin dan Selasa (31 Mac dan 1 April) sempena cuti umum Aidilfitri, tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial