PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH

07/04/2025 11:06 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan rendah dalam dagangan awal hari ini, merosot di bawah paras 1,500, menjejaki prestasi Wall Street yang kurang menggalakkan pada Jumaat lepas berikutan kebimbangan dan ketidaktentuan dalam pasaran global.

Pada 9.04 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 49.92 mata atau 3.32 peratus kepada 1,454.22 daripada 1,504.14 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 28.83 mata kepada 1,475.31.    

Suasana pasaran turut negatif. Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 748 berbanding 39 manakala 148 kaunter tidak berubah, 1,424 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.  

Jumlah dagangan sebanyak 321.42 juta saham bernilai RM221.58 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kemerosotan Wall Street minggu lepas didorong oleh langkah balas China untuk mengenakan tarif sebanyak 34 peratus ke atas barangan Amerika Syarikat, mewujudkan kebimbangan mengenai perang perdagangan global sepenuhnya.

Dalam negara, katanya pelabur dijangka mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati berikutan kebimbangan berterusan mengenai perkembangan perdagangan global.

“Berdasarkan ketidaktentuan yang meningkat, kami menjangka pelabur kekal tidak memasuki pasaran berikutan sentimen menjadi lebih berhati-hati.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,500 hingga 1,510 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi Maybank merosot 22 sen kepada RM10.02, Public Bank berkurangan 20 sen kepada RM4.17, TNB susut 46 sen kepada RM13.02, CIMB turun 31 sen kepada RM6.70 dan IHH Healthcare merosot enam sen kepada RM6.73.

Dalam kalangan saham aktif, Saudigold mendatar pada satu sen, Aizo dan NEXG, masing-masing berkurangan 1.5 sen kepada 8.5 sen dan 22 sen, Velesto Energy susut satu sen kepada 15 sen dan MYEG merosot lima sen kepada 87 sen.  

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 401.24 mata kepada 10,794.41, Indeks FBMT 100 jatuh 401.72 mata kepada 10.572.16 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 398.18 mata kepada 10,525.00.

Indeks FBM 70 berkurangan 729.82 mata kepada 15,121.35 dan Indeks FBM ACE turun 198.19 mata kepada 4,434.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 594.55 mata kepada 17.711.96, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 5.08 mata kepada 142.03, Indeks Tenaga susut 34.44 mata kepada 684.83 dan Indeks Perladangan turun 156.79 mata kepada 7,175.40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan