KUALA LUMPUR, 16 April -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah, dipengaruhi oleh aktiviti pengambilan untung ke atas beberapa saham berwajaran tinggi, terutamanya dalam sektor produk perindustrian, perbankan dan utiliti.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.95 mata atau 0.67 peratus kepada 1,476.48 daripada 1,486.43 ketika ditutup Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka sedikit tinggi pada 1,486.45, sebelum bergerak antara 1,473.36 dan 1,487.50 sepanjang sesi dagangan.
Dalam pasaran yang lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 463 berbanding 260 manakala 364 kaunter tidak berubah, 1,311 tidak diniagakan dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.96 bilion saham bernilai RM758.72 juta.
Mengulas mengenai Bursa Malaysia tengah hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun terdapat penjualan dalam Indeks Teknologi tempatan susulan siasatan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap import semikonduktor, tetapi pihaknya percaya saham-saham berkaitan perisian secara relatifnya akan kekal terlindung daripada tekanan berkaitan tarif.
“Ini boleh membuka peluang kepada pemburuan saham-saham murah syarikat keselamatan siber seperti Cloudpoint Technology Bhd dan LGMS Bhd, yang turut mendapat manfaat daripada gelombang pelaburan pusat data yang semakin meningkat di negara ini.
“Selain itu, pembekal utiliti negara Tenaga Nasional Bhd, yang baru-baru ini memperoleh kontrak penyelenggaraan bernilai RM705 juta daripada kerajaan Kuwait, dijangka terus memanfaatkan momentum pelaburan pusat data dan tenaga boleh baharu dalam negara,” tambah firma pembrokeran saham itu.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut 7.0 sen kepada RM9.87, CIMB Group turun 6.0 sen kepada RM6.64, Tenaga Nasional dan Public Bank masing-masing merosot 4.0 sen kepada RM13.40 dan RM4.27, manakala IHH Healthcare jatuh 1.0 sen kepada RM6.80.
Bagi saham aktif, Revenue Group naik setengah sen kepada 9.5 sen dan Iskandar Waterfront meningkat 2.0 sen kepada 39.5 sen. Dataprep Holdings turun setengah sen kepada 15 sen dan My E.G. Services susut 1.0 sen kepada 91.5 sen, manakala Pertama Digital kekal pada 13.0 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas jatuh 71.80 mata kepada 10,967.41, Indeks FBMT 100 susut 74.45 mata kepada 10,749.19, Indeks FBM Emas Shariah turun 62.90 mata kepada 10,790.80, Indeks FBM 70 merosot 115.04 mata kepada 15,435.24 dan Indeks FBM ACE berkurangan 33.78 mata kepada 4,503.98.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 128.39 mata kepada 17,698.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.71 mata kepada 143.57, Indeks Tenaga berkurangan 4.70 mata kepada 650.18 dan Indeks Perladangan jatuh 28.11 mata kepada 7,177.78.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial