KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan tinggi pada sesi dagangan awal hari ini, menjejaki prestasi Wall Street yang bercampur-campur berikutan pelabur kekal optimis dengan berhati-hati dalam ketidaktentuan berterusan mengenai prospek tarif Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.19 mata kepada 1,488.46 daripada 1,483.27 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.63 mata kepada 1,481.64.
Suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 158 berbanding 112. Sejumlah 218 kaunter tidak berubah, 1,935 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 231.25 juta saham bernilai RM58.88 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur semalam selepas sesi dagangan tidak menentu, dengan indeks Dow Jones dan Nasdaq, masing-masing mencatatkan penurunan untuk hari ketiga berturut-turut.
“Sentimen pasaran kekal tidak stabil dalam ketidaktentuan baharu yang wujud daripada retorik tarif Presiden AS Donald Trump serta ketegangan antara AS dan China yang meningkat,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Thong berkata di Asia, pasaran ekuiti meningkat disokong oleh optimisme mengenai rundingan perdagangan antara AS dan Jepun.
“Kenyataan Presiden Trump mengenai ‘kemajuan besar’ dalam rundingan tersebut telah menaikkan sentimen pasaran.
“Di peringkat domestik, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat 1,470 hingga 1,500 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 3.0 sen kepada RM9.90 serta CIMB Group dan Public Bank, masing-masing menambah 2.0 sen kepada RM6.78 dan RM4.35. Tenaga Nasional merosot 14.0 sen kepada RM13.34 dan IHH Healthcare berkurangan 8.0 sen kepada RM6.77.
Dalam kalangan saham aktif, Ingenieur Gudang naik 1.0 sen kepada 4.0 sen dan Widad Group meningkat setengah sen kepada 3.5 sen. NexG merosot 1.0 sen kepada 30.5 sen manakala Avangaad dan Bina Puri, masing-masing mendatar pada 28.5 sen dan 34.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 37.51 mata kepada 11,037.82, Indeks FBMT 100 naik 39.64 mata kepada 10,823.74, Indeks FBM Emas Shariah menambah 31.69 mata kepada 10,845.64 dan Indeks FBM 70 melonjak 64.35 mata kepada 15,491.77.
Sementara itu, Indeks FBM ACE berkurangan 0.01 mata kepada 4,558.12.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 73.37 mata kepada 17,854.28, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.45 mata kepada 144.68, Indeks Tenaga menambah 6.72 mata kepada 662.07 dan Indeks Perladangan menokok 44.24 mata kepada 7,187.39.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial