PASARAN > BERITA

EMAS DITUTUP TINGGI KETIKA KEBIMBANGAN MENINGKAT MENGENAI EKONOMI GLOBAL

22/04/2025 09:55 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi untuk hari kedua berturut-turut pada Selasa, menjejaki kenaikan harga di COMEX apabila pelabur terus beralih kepada logam berharga itu dalam keadaan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai ekonomi global.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas melonjak melepasi US$3,500 setiap auns troy seolah-olah "mempunyai misi" -- dan bukan disebabkan sebarang kenyataan terkini oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai Rizab Persekutuan AS.

“Itu tidak relevan. Sebab sebenar adalah kerana orang ramai mula hilang keyakinan terhadap wang kertas,” katanya kepada Bernama.

Menurut laporan, harga emas meningkat kira-kira 2.0 peratus pada Selasa, melepasi US$3,500 bagi setiap auns troy pada waktu pagi yang kali pertama dalam sejarah.

Innes berkata bank pusat di seluruh dunia dijangka menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat ini, dan emas kini bergerak mendahului peralihan ini.

“Ini bukan sekadar reaksi -- ia adalah peringatan... orang ramai semakin hilang kepercayaan terhadap wang kertas dan bank pusat. Emas berfungsi sebagai komoditi selamat apabila segala-galanya dirasakan tidak kukuh,” katanya.

Innes berkata kenaikan harga emas pada kali ini berbeza dengan sebelumnya -- ia lebih teguh dan penting.

Beliau berkata, apabila disesuaikan dengan inflasi, harga emas pada masa ini lebih tinggi berbanding ketika krisis pada 1980-an.

“Orang ramai inginkan sesuatu yang nyata dan boleh mereka percayai, dan emas mempunyai ciri itu,” katanya.

Pada penutupan dagangan hari ini, kontrak bulan semerta April 2025 meningkat kepada US$3,398.70 setiap auns troy daripada US$3,329.90 setiap auns troy pada Isnin, dan kontrak Mei 2025 naik kepada US$3,407.70 setiap auns troy daripada US$3,340.30 setiap auns troy.

Kontrak Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025 semuanya menokok kepada US$3,422.40 setiap auns troy daripada US$3,355.00 setiap auns troy semalam.

Jumlah dagangan meningkat kepada 159 lot daripada 142 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menokok kepada 188 kontrak daripada 175 kontrak sebelum ini.

Berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada 17 April, harga emas fizikal sebanyak US$3,305.65 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan