PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA MELANTUN SEMULA, INDEKS KOMPOSIT MELONJAK 1.63 PERATUS

30/04/2025 07:25 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup kukuh hari ini pulih daripada penurunan semalam dengan indeks utama melonjak 1.63 peratus, disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah, kemasukan semula dana asing dan kebimbangan ketegangan perdagangan yang kian mereda. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 24.66 mata kepada 1,540.22 daripada paras penutup 1,515.56 pada Selasa.

Petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 2.51 mata kepada 1,518.07, paras terendah intra harinya dan meningkat ke paras intra hari tertingginya pada sesi penutup. 

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 454 kaunter berbanding 347 manakala 475 kaunter tidak berubah, 1143 tidak diniagakan dan 96 digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.56 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 3.04 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Selasa.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran tempatan mempamerkan daya tahannya disokong oleh kemasukan semula modal asing dan perubahan sentimen.

“Pengumuman tarif 2025 Presiden AS Donald Trump, yang pada mulanya menyeret indeks komposit turun ke paras terendah dalam tempoh 20 bulan kepada 1,400.59 pada 9 April, terbukti menjadi satu rahmat tersembunyi.

“Penyelarasan sektoral berlaku selepas pengumuman tarif, dengan saham pengguna dan berorientasikan eksport memacu kenaikan. Dinamik ini muncul apabila para pelabur bergilir-gilir membeli saham berharga rendah, sebagai persediaan untuk kemungkinan perdagangan kembali normal,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, perkembangan geopolitik yang menggalakkan menstabilkan lagi sentimen, dengan perintah eksekutif Trump untuk menurunkan cadangan tarif kereta dan rundingan AS-Korea Selatan yang sedang berjalan dilaporkan menghampiri "perjanjian persefahaman" awal.

Mohd Sedek berpandangan dengan kemungkinan ketegangan perdagangan mereda, sektor eksport Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada prospek yang bertambah baik ini. 

“Peristiwa yang berlaku pada bulan April daripada penurunan mendadak kepada pemulihan yang luar biasa menunjukkan keupayaan pasaran untuk menyesuaikan diri ketika berdepan keadaan tidak menentu. Pelabur kini akan memberi tumpuan kepada sektor teknologi dan eksport sebagai bidang utama pertumbuhan pada Mei,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 20 sen kepada RM3.67, Press Metal Aluminium menokok 11 sen kepada RM4.90, CIMB meningkat 10 sen kepada RM7.12, Petronas Gas menokok 68 sen kepada RM17.50 dan Axiata menambah enam sen kepada RM2.10.

Dalam kalangan kaunter cergas, Nationgate Holdings naik lapan sen kepada RM1.36, RichTech meningkat tiga sen kepada 31 sen, Velesto dan WTEC Group menokok setengah sen setiap satu masing-masing kepada 15.5 sen dan 24 sen, manakala Tanco Holdings turun dua sen kepada 86 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 133.37 mata kepada 11,407.78, Indeks FBMT 100 naik 139.48 mata kepada 11,184.44, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 156.56 mata kepada 11,274.27, Indeks FBM 70 memperoleh 40.39 mata kepada 15,945.37 dan Indeks FBM ACE meningkat 10.56 mata kepada 4,628.66

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 134.50 mata kepada 18,234.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 2.56 mata kepada 151.48, Indeks Tenaga meningkat 10.18 mata kepada 688.14, dan Indeks Perladangan menokok 95.07 mata kepada 7,257.42.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.33 bilion unit bernilai RM2.04 bilion daripada 1.26 bilion unit bernilai RM1.57 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 814.34 bilion unit bernilai RM91.56 juta daripada 1.46 bilion unit bernilai RM140.98 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 417.40 juta unit bernilai RM113.82 juta daripada 322.42 juta unit bernilai RM98.94 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 204.95 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (197.39 juta), pembinaan (101.33 juta), teknologi (174.53 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (90.53 juta), hartanah (164.26 juta), perladangan (19.04 juta), REITs (23.11 juta), dana tertutup (232,800), tenaga (175.11 juta), penjagaan kesihatan (47.06 juta), telekomunikasi dan media (42.22 juta), pengangkutan dan logistik (32.98 juta), utiliti (61.37 juta), dan amanah perniagaan (169,200).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan