Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Aktiviti pembelian berterusan saham telekomunikasi dan media terpilih serta kaunter utiliti melonjakkan Bursa Malaysia untuk ditutup pada paras intra hari tertingginya hari ini sejajar dengan momentum positif merentas pasaran serantau, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.85 peratus, atau 13.10 mata, kepada 1,549.90 daripada paras penutup 1,536.80 pada Selasa.
Celcomdigi dan YTL Corp merupakan penyumbang utama kepada peningkatan indeks petunjuk pasaran itu, masing-masing meningkat 12 sen kepada RM3.91 dan 11 SEN kepada RM2.05, dengan gabungan sebanyak 4.50 mata.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.24 mata kepada 1,536.56, paras terendah hari ini, sebelum meningkat semula bagi tempoh berbaki untuk ditutup tinggi hari ini.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 595 berbanding 378, manakala 477 kaunter tidak berubah, 885 tidak diniagakan, dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.84 bilion unit bernilai RM2.43.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau ditutup tinggi selepas pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengesahkan pegawai tertinggi AS akan bertemu rakan sejawatan mereka dari China pada hujung minggu ini untuk membincangkan isu perdagangan.
"Kami percaya perbincangan ini boleh menjadi langkah penting ke arah meredakan ketegangan perdagangan. Bursa tempatan pulih semula selepas mencatatkan dua sesi rendah, disokong oleh sentimen pelabur yang bertambah baik dan peningkatan pembelian asing yang didorong oleh penilaian yang menarik.
"Dengan isyarat teknikal positif yang muncul, FBM KLCI dijangka terus mencatatkan kenaikan, asalkan ia bertahan di atas zon sokongannya. Kami menjangka indeks petunjuk pasaran didagangkan antara paras 1,530 dan 1,560 bagi tempoh berbaki minggu ini," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran juga akan menumpukan perhatian kepada keputusan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang akan datang dan sidang akhbar Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Jerome Powell petang ini.
"Meskipun pengurangan kadar tidak dijangkakan pada mesyuarat ini, peserta pasaran akan memantau rapat hala tuju monetari Fed," katanya.
Beliau juga menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya yang berakhir esok, untuk memperkukuh persekitaran dasar yang stabil.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM10, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM14.16, CIMB menokok 5.0 sen kepada RM6.95, manakala Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM4.47 dan RM7.
Dalam kalangan saham aktif, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 4.5 sen, Tanco Holdings menambah 1.5 sen kepada 90 sen, DNeX meningkat 1.0 sen kepada 27.5 sen, manakala WTEC susut 1.5 sen kepada 24 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 106.12 mata kepada 11,519.59, Indeks FBMT 100 melonjak 103.66 mata kepada 11,291.31, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 126.80 mata kepada 11,438.01.
Indeks FBM 70 menambah 182.01 mata kepada 16,244.24 dan Indeks ACE FBM meningkat 12.84 mata kepada 4,651.61.
Merentas sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 59.42 mata kepada 18,188.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.81 mata kepada 152.29, Indeks Tenaga menambah 6.43 mata kepada 685.05 manakala Indeks Perladangan meningkat 20.33 mata kepada 7,305.29.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.42 bilion unit bernilai RM2.16 bilion daripada 1.22 bilion unit bernilai RM1.61 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran susut kepada 1.05 bilion unit bernilai RM150.97 juta daripada 1.22 bilion unit bernilai RM157.38 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 371.32 juta unit bernilai RM118.03 juta daripada 346.85 juta unit bernilai RM103.09 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 198.20 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (186.97 juta), pembinaan (106.73 juta), teknologi (184.73 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (77.56 juta), hartanah (174.74 juta), perladangan (23.92 juta), REIT (17.62 juta), dana tertutup (40,100), tenaga (210.92 juta), penjagaan kesihatan (44.47 juta), telekomunikasi dan media (72.49 juta), pengangkutan dan logistik (57.54 juta), utiliti (58.36 juta) dan amanah perniagaan (19,000).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial