KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi ini dengan lebih rendah, diasak oleh kekurangan pemangkin baharu yang turut memaparkan aliran di peringkat pasaran serantau.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.42 mata atau 0.09 peratus kepada 1,571.60 daripada 1,573.02, semalam
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 2.58 mata kepada 1,575.60 dan seterusnya bergerak dalam julat 1,570.20 hingga 1,580.06 sepanjang sesi pagi.
Pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 589 berbanding 286 manakala 423 kaunter tidak berubah, 1,098 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.85 bilion saham bernilai RM1.03 bilion.
Pedagang ActivTrades Anderson Alves berkata ekuiti Asia cenderung diniagakan lemah pada hari ini ketika data Amerika Syarikat yang bercampur-campur terus mempengaruhi harga menjelang tamatnya pilihan bulanan.
“Peniaga turut memantau perkembangan terkini tarif yang boleh mempengaruhi pasaran Asia,” katanya.
Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.4 peratus dalam suku pertama 2025, didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang kekal mampan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif dan dasar kerajaan, berbanding 4.2 peratus dalam tempoh sama 2024.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM10.12, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.20, IHH Healthcare susut dua sen kepada RM7.01 dan Public Bank serta CIMB masing-masing turun kepada RM4.50 dan RM7.15.’
Bagi saham aktif, West River meningkat satu sen kepada 36.5 sen, Sumisaujana, NexG dan Pertama Digital masing-masing menambah setengah sen kepada 19.5 sen, 36.5 sen and 13 sen manakala Ekovest susut 1.5 sen kepada 37.5 sen dan Nationgate turun empat sen kepada RM1.68.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 37.47 mata kepada 11,736.54, Indeks FBMT 100 turun 32.29 mata kepada 11,487.19, Indeks FBM Emas Shariah susut 42.96 mata kepada 11,675.66, Indeks FBM 70 Indeks merosot 134.45 mata kepada 16,676.73 dan Indeks FBM ACE menguncup 27.47 mata kepada 4,747.67.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 16.68 mata kepada 18,453.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.12 mata kepada 159.67, Indeks Tenaga menguncup 9.78 mata kepada 727.56 manakala Indeks Perladangan berkurangan 12.29 mata kepada 7,375.81.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial