PASARAN > BERITA

KEKAL POSITIF, FBM KLCI NAIK 0.57 PERATUS PADA TENGAH HARI

01/10/2025 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya apabila kekal dalam wilayah positif pada tengah hari ini, didorong oleh aktiviti belian dalam kebanyakan saham wajaran tinggi dan merentasi semua papan indeks, kecuali Indeks Tenaga.

Setakat 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.22 mata atau 0.57 peratus kepada 1,621.10 daripada paras  penutup 1,611.88, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.74 mata lebih tinggi pada 1,612.62 serta bergerak dalam jajaran 1,612.62 hingga 1,623.65 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran memberangsangkan dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 475 berbanding 419 manakala 453 kaunter tidak berubah, 1,210 kaunter tidak diniagakan dan lima kaunter lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.30 bilion unit bernilai RM979.85 juta.

Namun, pada masa sama, Malacca Securities Sdn Bhd mengingatkan bahawa sebarang langkah penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan memberi impak ke atas bursa tempatan.

Dari sudut teknikal pula, petunjuk semasa masih memaparkan isyarat bercampur-campur dengan penumpuan pencapahan purata bergerak (MACD) mendatar hampir kepada sifar manakala indeks kekuatan relatif (RSI) pula di atas paras 50, sekali gus menunjukkan momentum yang agak positif.

“Paras rintangan dijangkakan dalam julat 1,626-1,631 manakala sokongan pada 1,591-1,596,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Dagangan naik 28 sen kepada RM23.22, Hong Leong Bank menokok 24 sen kepada RM20.76, QL Resources meraih 5.0 sen kepada RM4.39, 99 Speed Mart Retail meningkat 3.0 sen kepada RM2.77 manakala CIMB menambah 8.0 sen kepada RM7.42.

Saham paling aktif menyaksikan EA Holdings dan Borneo Oil masing-masing tidak berubah pada setengah sen, Tanco naik setengah sen kepada 90.5 sen manakala Pharmaniaga dan HHRG masing-masing turun setengah sen kepada 28.5 sen dan 10 sen.

Selain Petronas Dagangan dan Hong Leong Bank, kaunter paling untung lain termasuk Nestlé yang melonjak 78 sen kepada RM97, IHH Healthcare meningkat 37 sen kepada RM7.92 dan Vitrox menambah 23 sen kepada RM3.98.

Sebaliknya, kaunter paling rugi melibatkan Malayan Cement yang susut 14 sen kepada RM6.89, Hong Leong Industries turun 8.0 sen kepada RM13.92, Sunway Construction Group kehilangan 7.0 sen kepada RM5.98 manakala KLK dan DKSH masing-masing turun 6.0 sen kepada RM20.54 dan RM4.80.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 63.80 mata kepada 12,049.69, Indeks FBMT 100 naik 64.08 mata kepada 11,786.70, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 60.54 mata kepada 12,077.09.

Indeks FBM 70 melonjak 78.52 mata kepada 16,825.11, manakala Indeks FBM ACE mengumpul 17.52 mata kepada 5,188.83.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.78 mata kepada 172.24, Indeks Perladangan menambah 5.79 mata kepada 7,785.37 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 135.74 mata kepada 18,382.47 namun Indeks Tenaga turun 3.67 mata kepada 772.95.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan