Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tidak menentu minggu depan sekiranya penutupan operasi kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) berterusan.
Pengarah strategi pelaburan IPPFA Sdn Bhd yang juga pakar ekonomi negara Mohd Sedek Jantan berkata jika penutupan operasi kerajaan persekutuan AS berlarutan, ia mungkin mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran global yang boleh menular ke pasaran hadapan Malaysia.
Beliau berkata tumpuan pasaran tempatan juga akan terarah kepada pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat minggu depan.
“Pelabur dijangka kekal selektif, mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman Belanjawan yang akan menetapkan hala tuju sentimen menuju ke akhir tahun,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, menjangkakan secara keseluruhannya prospek kekal positif selagi indeks petunjuk pasaran kekal di atas paras 1,620 untuk bergerak ke arah paras 1,650.
"Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,620-1,650 pada minggu depan," kata Thong kepada Bernama.
Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta November 2025 berada pada 1,631.00, manakala Oktober 2025 meningkat 25.5 mata kepada 1,631.50, Disember 2025 naik 30.5 mata kepada 1,628.50, dan Mac 2026 menambah 32 mata kepada 1,609.00.
Jumlah dagangan bagi minggu yang baru berakhir ini turun kepada 52,286 lot daripada 137,491 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka suust kepada 52,286 kontrak daripada 87,049 kontrak.
Bagi asas jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menigkat 26.01 mata kepada 1,635.06 daripada paras 1,609.05 pada minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial