PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI, SEIRING KENAIKAN SEMALAMAN DI WALL STREET

09/10/2025 10:23 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula pada Khamis, mengakhiri penurunan selama dua hari untuk dibuka tinggi, seiring dengan kenaikan semalaman di Wall Street berikutan pelabur meneliti minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada September.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.54 mata atau 0.03 peratus kepada 1,628.04 selepas ditutup pada 1,627.50 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.37 mata kepada 1,628.87.

Pasaran secara menyeluruh positif, dengan 220 kaunter untung dan 140 kaunter rugi manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,971 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 165.68 juta saham bernilai RM90.45 juta.  

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran turut disokong oleh pembukaan semula pasaran China selepas cuti “Golden Week”.

“Ini memberikan kelegaan untuk jangka pendek manakala risiko asas seperti potensi tarif, kelembapan ekonomi dan keputusan dasar Rizab Persekutuan yang akan datang masih berterusan.

“Oleh itu, kami menjangka kaunter berkaitan pengguna dan komunikasi dalam FBM KLCI terus mengekalkan momentumnya dan sentimen positif yang dilihat semalam,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM9.98, CIMB Group berkurangan tiga sen kepada RM7.63 dan IHH Healthcare menurun sembilan sen kepada RM8.01 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.34 dan Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM13.30.

Dalam dagangan aktif, Jadi Imaging menambah 2.5 sen kepada 5.5 sen, Land & General naik setengah sen kepada 17 sen manakala Tanco, Inari Amertron dan Cheeding, masing-masing mendatar pada 85 sen, RM2.37 dan 80 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Nestle naik 30 sen kepada RM99.60, Malaysian Pacific Industries meningkat 20 sen kepada RM31.02, Petronas Gas menambah 14 sen kepada RM18.80 dan Arka menokok lapan sen kepada 70 sen.

Selain IHH Healthcare dan CIMB, kaunter paling rugi termasuklah PPB merosot 10 sen kepada RM10.88, Paos berkurangan 3.5 sen kepada 28 sen dan Lianson Fleet menurun tiga sen kepada RM2.18.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 7.41 mata kepada 12,122.01, Indeks FBM 100 menambah 6.64 mata kepada 11,852.54 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 20.96 mata kepada 12,141.51.

Indeks FBM 70 meningkat 21.14 mata kepada 16,986.15 dan Indeks FBM ACE naik 14.59 mata kepada 5,283.62.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.09 mata kepada 173.61, Indeks Perladangan menambah 21.03 mata kepada 7,851.51 manakala Indeks Tenaga merosot 3.65 mata kepada 788.38 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 25.89 mata kepada 18,502.44.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan