Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka meningkat minggu depan berikutan kekangan bekalan akibat keadaan cuaca buruk khususnya di negara pengeluar getah utama iaitu Thailand dan Malaysia, kata Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Harga getah akan dipengaruhi oleh kombinasi faktor kewangan dan alam sekitar termasuk niaga hadapan getah serantau dan kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS, kata pertubuhan itu.
“Selain itu, turun naik harga penanda aras minyak mentah juga akan memainkan peranan,” kata MARGMA kepada Bernama.
Sementara itu, seorang peniaga getah berkata para peniaga akan memantau dengan teliti petunjuk ekonomi utama global, perkembangan berkaitan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), penutupan kerajaan AS dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
“Keadaan cuaca di negara pengeluar getah utama akan terus menjadi faktor penting dalam menentukan dinamik bekalan dan turun naik harga dalam jangka terdekat,” kata peniaga itu.
Bagi asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat lapan sen kepada 739.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 3.5 sen kepada 574.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial