Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini disebabkan oleh kenaikan dalam niaga hadapan getah serantau yang disokong oleh kebimbangan mengenai bekalan getah asli susulan musim hujan yang berterusan di negara pengeluar utama, kata seorang peniaga.
Beliau memberitahu sentimen pasaran dipacu oleh jualan automotif yang kukuh di China dan harga minyak mentah yang stabil, namun terhad oleh peningkatan ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan yang timbul semula mengenai pertikaian perdagangan AS-China.
"Niaga hadapan getah Jepun meningkat, mencerminkan keyakinan pasaran yang lebih luas dan jangkaan permintaan yang lebih tinggi.
"Selain itu, agensi meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dan peningkatan jumlah hujan dari 16 hingga 18 Oktober," katanya kepada Bernama.
Beliau menambah Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell menyatakan iaitu AS menghadapi data pasaran pekerjaan yang lemah dan inflasi yang melebihi sasaran sekali gus mencipta dilema dasar serta ketidaktentuan ekonomi.
"Ketegangan perdagangan AS-China yang muncul semula diperlihatkan menerusi pelaksanaan yuran pelabuhan timbal balik ke atas kapal-kapal yang dikaitkan dengan kumpulan kapal masing-masing," tambahnya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat tujuh sen kepada 739.50 sen setiap kilogram manakala getah lateks pukal sedikit menurun sebanyak 1.5 sen kepada 571.50 sen setiap kilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial