KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini dengan keuntungan dilihat merentas kebanyakan sektor, diterajui oleh pembelian di kaunter wajaran tinggi terutamanya dalam telekomunikasi, utiliti dan produk pengguna.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.94 mata atau 0.18 peratus kepada 1,614.49 daripada 1,611.55 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.16 mata kepada 1,611.39 dan diniagakan dalam julat 1,611.39 hingga 1,617.28 pada sesi tersebut.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 545 berbanding 444 manakala 503 kaunter tidak berubah, 1,180 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.24 bilion unit bernilai RM1.47 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata dengan Belanjawan 2026 memperkukuh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menerusi peruntukan untuk projek solar, ia kekal yakin pada saham berkaitan tenaga boleh baharu (RE).
NETR juga mengetengahkan program peningkatan grid Tenaga Nasional Bhd bernilai RM43 bilion, yang dijangka memanfaatkan syarikat berkaitan pencawang dan kabel, katanya.
Ia juga berkata peniaga mungkin memberi tumpuan kepada saham berkaitan Sabah dan Sarawak dalam persekitaran peruntukan lebih tinggi untuk Sabah (RM6.9 bilion) dan Sarawak (RM6.0 bilion), selain daripada pilihan raya negeri Sabah akan datang.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM13.26, CIMB Group menambah satu sen kepada RM7.35, IHH Healthcare turun empat sen kepada RM8.03, Maybank turun dua sen kepada RM9.90, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.20.
Bagi saham aktif, TWL Holdings melonjak 0.5 sen kepada tiga sen, Genting Bhd menokok 14 sen kepada RM3.54 dan Tanco Holdings naik 1.5 sen kepada 88 sen dan Cahya Mata Sarawak menambah dua sen kepada RM1.50, manakala Dagang Nexchange merosot setengah sen kepada 28.5 sen.
Antara saham paling untung menyaksikan Nestle naik RM1.50 kepada RM104.20, Malaysian Pacific Industries meningkat 76 sen kepada RM29.60, Petronas Gas dan United Plantations melonjak 36 sen masing-masing kepada RM18.88 dan RM23.60, manakala Frontken Corp melonjak 20 sen kepada RM4.76.
Bagi saham paling rugi pula, Petronas Dagangan merosot 52 sen kepada RM22.48, Petron Malaysia turun 15 sen kepada RM3.69, Kelington Group berkurangan 14 sen kepda RM5.70. Scientex dan Ideal Capital berkurangan 10 sen masing-masing kepada RM3.49 dan RM3.40.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 28.73 mata kepada 12,095.97, Indeks FBMT 100 menambah 29.52 mata kepada 11,819.39, Indeks FBM Emas Shariah naik 41.95 mata kepada 12,184.09 dan Indeks FBM 70 naik 77.74 mata kepada 17,223.89 manakala Indeks FBM ACE turun 17.23 mata kepada 5,328.14.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 7.49 mata kepada 18,202.69, Indeks Perladangan meningkat 32.20 mata kepada 7,878.55, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.54 mata kepada 173.40, manakala Indeks Tenaga berkurangan 2.06 mata kepada 797.97.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial