Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tidak berubah di tengah-tengah pasaran keseluruhan yang bercampur-campur apabila pelabur kekal berada di luar pasaran susulan ketidaktentuan global yang berterusan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 0.74 mata atau 0.05 peratus kepada 1,612.29 daripada 1,611.55 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.16 mata lebih rendah pada 1,611.39 dan berlegar-legar dalam jajaran kecil iaitu antara 1,611.28 dan 1,617.28 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran secara keseluruhan bercampur-campur dengan 578 kaunter rugi mengatasi 536 kaunter untung manakala 548 kaunter tidak berubah, 1,011 kaunter tidak diniagakan dan 18 lagi kaunter digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.49 bilion unit bernilai RM2.85 bilion daripada 4.26 bilion unit bernilai RM3.71 bilion semalam.
Timbalan Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup tidak berubah kerana pelabur kekal berhati-hati selain mengelak daripada berada dalam kedudukan beli serta dalam keadaan turun naik global yang meningkat.
"Ketidaktentuan dijangka berterusan kerana pelabur menantikan penjelasan daripada potensi pertemuan di antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan Presiden China Xi Jinping akhir bulan ini di Korea Selatan, satu perkembangan yang boleh mempengaruhi sentimen di pasaran global dan domestik.
"Memandangkan ketidaktentuan yang berlaku, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran akan kekal berlegar-legar dalam julat antara 1,610 hingga 1,620 menjelang hujung minggu," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik dua sen kepada RM4.22 manakala IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM8.04.
Maybank, Tenaga Nasional dan CIMB Group kekal tidak berubah dan masing-masing berada pada RM9.92, RM13.18 dan RM7.34.
Dalam kalangan saham paling aktif, Genting Bhd menokok tujuh sen kepada RM3.47, Tanco Holdings meningkat 1.5 sen kepada 88 sen dan Zetrix AI menambah satu sen kepada 85.5 sen.
Sementara itu, Genting Malaysia turun satu sen kepada RM2.33 dan TWL Holdings kekal tidak berubah pada 2.5 sen.
Dalam kalangan saham paling untung termasuk Nestle yang berkembang RM2.00 kepada RM104.70, Malaysian Pacific Industries yang bertambah 76 sen kepada RM29.60, Petronas Gas yang naik 48 sen kepada RM19.00, United Plantations yang mencatatkan peningkatan 36 sen kepada RM23.60 dan Frontken Corp yang melonjak 22 sen kepada RM4.78.
Dalam kalangan saham paling rugi, Petronas Dagangan turun 70 sen kepada RM22.30, PLB Engineering merosot 13.5 sen kepada 86.5 sen, PIE Industrial susut 13 sen kepada RM3.13, Sunway Construction berkurangan 12 sen kepada RM5.99 dan Gamuda kehilangan 10 sen kepada RM5.19.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 14.81 mata kepada 12,082.05, Indeks FBMT 100 melonjak 13.97 mata kepada 11,803.83, Indeks FBM Emas Shariah menambah 19.66 mata kepada 12,161.80, Indeks FBM 70 menokok 57.40 mata kepada 17,203.55 dan Indeks FBM ACE berkembang 30.39 mata kepada 5,375.76.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 27.21 mata kepada 18,222.41 manakala Indeks Perladangan bertambah 14.88 mata kepada 7,861.23.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.31 mata kepada 173.63 manakala Indeks Tenaga merosot 4.47 mata kepada 795.56.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.01 bilion unit bernilai RM2.55 bilion daripada 2.27 bilion unit bernilai RM3.32 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 997.49 juta unit bernilai RM117.36 juta daripada 1.45 bilion unit bernilai RM185.30 juta pada Rabu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurang kepada 479.68 juta unit bernilai RM179.84 juta daripada 538.34 juta unit bernilai RM187.88 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 436.91 juta saham dagangan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (316.17 juta), pembinaan (74.82 juta), teknologi (406.81 juta), perkhidmatan kewangan (48.96 juta), hartanah (253.78 juta), perladangan (26.32 juta), dana pelaburan hartanah (29.04 juta), dana tertutup (6,800), tenaga (163.37 juta), penjagaan kesihatan (96.28 juta), telekomunikasi dan media (90.96 juta), pengangkutan dan logistik (24.68 juta), utiliti (39.36 juta) serta amanah perniagaan (72,700).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial