PASARAN > BERITA

SENTIMEN ELAK RISIKO DORONG RINGGIT DIBUKA MENGUKUH BERBANDING DOLAR AS

17/10/2025 09:18 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh jangkaan bahawa negara maju itu akan menurunkan kadar faedah selain sentimen mengelak risiko di peringkat global.

Pada jam 8 pagi ini, ringgit mengukuh ke paras 4.2160/2335 berbanding dolar AS daripada 4.2275/2300 pada akhir dagangan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran dalam mod mengelak risiko dengan harga emas mencecah paras tertinggi baharu manakala hasil Perbendaharaan AS pula merosot.

“Perkembangan ini dipengaruhi oleh penutupan kerajaan AS yang masih berlanjutan dan melewatkan pengumuman data-data ekonomi penting yang diperlukan bagi membuat keputusan dasar monetari,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Indeks Dolar AS susut 0.46 peratus kepada 98.336 yang hanya menambah tekanan terhadap mata wang negara maju itu.

“Ringgit berkemungkinan terus mencatat pengukuhan susulan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada akhir bulan ini.

"Selain itu, isu melibatkan institusi kewangan dan pihak penyedia pinjaman di AS turut mendapat perhatian dari segi perkembangnya serta kesan ke atas pasaran kredit. Berita seperti ini akan hanya memberi tekanan negatif kepada dolar AS," katanya.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali pound Britain yang menyaksikannya mengukuh kepada 5.6663/6898 daripada 5.6792/6826, semalam.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.9306/9511 daripada 4.9284/9313 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8073/8191 daripada 2.7943/7961.

Selain itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2601/2739 daripada 3.2630/2651 sebelum ini, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 254.2/255.4 daripada 254.9/255.2, meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.25/7.28 daripada 7.27/7.28 dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.9623/13.0229 daripada 12.9933/13.0151, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan