Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini, menjejaki kenaikan dalam niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan terhadap bekalan getah asli (NR) berikutan musim hujan yang berterusan di negara pengeluar utama, menurut seorang peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah meningkat di semua bursa utama Asia pada Selasa, dirangsang oleh permintaan yang stabil daripada industri hiliran.
Peniaga itu berkata sentimen pasaran semakin bertambah baik dipacu oleh data ekonomi yang positif dari China dan tanda-tanda ketegangan perdagangan yang mereda antara Amerika Syarikat (AS) dan China, di samping prestasi jualan automotif global yang menggalakkan.
Menurut laporan, setakat tahun ini pasaran kenderaan global telah meningkat lima peratus dengan jumlah jualan mencecah 67 juta unit berbanding tempoh yang sama pada 2024.
“Bagaimanapun, momentum kenaikan sebahagiannya dihadkan oleh petunjuk yang lemah daripada harga penanda aras minyak mentah dan ringgit pula kekal tidak berubah berbanding dolar AS sejak minggu lepas,” katanya kepada Bernama.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menokok 7.50 sen kepada 744.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut setengah sen kepada 568.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial