KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia menyaksikan dagangan dalam julat kecil dan rendah pada tengah hari ini, menjejaki prestasi suram Wall Street di tengah-tengah sentimen menolak risiko, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.05 peratus atau 0.87 mata kepada 1,601.82 berbanding paras penutup 1,602.69, semalam.
Indeks itu dibuka susut 1.43 mata pada 1,602.26 dan bergerak dalam paras 1,610.26 hingga 1,606.51 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 579 berbanding 329, sebanyak 463 kaunter tidak berubah manakala 1,325 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.13 bilion unit bernilai RM1.26 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI menjejaki penyusutan semalaman di Wall Street yang turut mencerminkan sentimen berhati-hati di pasaran.
Firma pembrokeran itu berkata Wall Street ditutup rendah diasak kebimbangan pelabur terhadap ketidaktentuan hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Pasaran ekuiti kekal di bawah tekanan selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mengesahkan Rumah Putih sedang mempertimbang sekatan terhadap eksport ke China yang menggunakan produk dan perisian buatan AS.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan CelcomDigi, YTL Corporation and Petronas Chemicals susut tujuh sen kepada RM3.59, RM2.43 dan RM3.90 manakala Sunway dan IOI masing-masing naik satu sen kepada RM5.55 dan RM3.97.
Bagi kaunter paling aktif, Perak Transit dan Zetrix AI kekal pada 33.5 sen dan 85 sen, THMY naik 51.5 sen kepada 82.5 sen, Tanco menokok setengah sen kepada 88 sen manakala Verdant Solar turun tiga sen kepada 34 sen.
Saham paling untung menyaksikan Fraser & Neave melonjak 60 sen kepada RM28.92, Bintulu Port naik 32 sen kepada RM5.50, Dutch Lady meraih 26 sen kepada RM26.46 dan Spritzer mengukuh 22 sen kepada RM2.72.
Sebaliknya, kaunter mencatat penurunan paling ketara ialah Nestle yang rugi 50 sen kepada RM107.80, Malayan Cement turun 21 sen kepada RM6.37, Petronas Gas menguncup 20 sen kepada RM18.54 dan Kuala Lumpur Kepong merosot 18 sen kepada RM20.54.
Di papan indeks pula Indeks FBM Emas merosot 7.82 mata kepada 11,992.38, Indeks FBMT 100 kehilangan 9.23 mata kepada 11,726.61, Indeks FBM Emas Shariah susut 17.93 mata kepada 12,080.59 dan Indeks FBM ACE berkurangan 25.67 mata kepada 5,264.59 manakala Indeks FBM 70 pula turun 25.72 mata kepada 17,088.47.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 30.02 mata kepada 18,098.26, Indeks Perladangan meraih 8.21 mata kepada 7,916.03. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.13 mata kepada 170.23 dan Indeks Tenaga merosot 2.91 mata kepada 782.49.
-- BERNAMA
SNAA SNAA TKB INA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial