Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia pulih daripada penurunan sebelumnya untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya hari ini, disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah yang sederhana dalam beberapa saham wajaran tinggi indeks utama.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.31 mata kepada 1,608.0 daripada paras penutup 1,602.69 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 1.43 mata kepada 1,601.26 sebelum meraih momentum pada sesi dagangan petang untuk ditutup lebih tinggi.
Bagaimanapun, suasana di keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 589 berbanding 470, manakala 486 kaunter tidak berubah, 1,151 tidak diniagakan dan lapan digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.44 bilion unit bernilai RM2.66 bilion daripada 3.41 bilion unit bernilai RM2.34 bilion pada Rabu.
Ketua penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leong, berkata sentimen pasaran dijangka terus berhati-hati dalam tempoh terdekat ini ketika para pelabur menunggu pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, yang boleh memberikan petunjuk lebih jelas mengenai hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata peningkatan pasaran itu dijangka terhad susulan laporan bahawa Washington sekali lagi telah meningkatkan ketegangan perdagangan dengan Beijing, menyebabkan pelabur teragak-agak untuk mengambil pegangan jangka panjang.
Bagi bursa tempatan, beliau berkata indeks petunjuk pasaran mendapat sokongan yang baik pada sekitar paras 1,600 dan firma broker saham itu mengekalkan tinjauan berhati-hati memandangkan ketidakpastian makroekonomi ketika ini yang dijangka menjejaskan sentimen pelabur.
“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,600-1,615 menjelang hujung minggu,” katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, CIMB menambah 13 sen kepada RM7.33, Press Metal meningkat tujuh sen kepada RM6.20, MISC mengukuh 16 sen pada RM7.51, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.21 dan Maxis susut satu sen kepada RM3.80.
Dalam kalangan saham paling aktif, THMY yang baru disenaraikan meningkat 60 sen kepada 91 sen, Tanco dan Zetrix AI meningkat setengah sen masing-masing kepada 88 sen dan 85.5 sen, manakala Perak Transit susut setengah sen kepada 33 sen dan Genting Malaysia turun satu sen pada RM2.33.
Dalam kalangan saham paling untung, Dutch Lady melonjak 24 sen kepada RM26.44, PPB dan Petronas Dagangan menambah 20 sen masing-masing kepada RM11.10 dan RM22.44, dan Telekom Malaysia meningkat 19 sen kepada RM7.41.
Manakala dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle susut 30 sen kepada RM108.0, Petronas Gas turun 20 sen kepada RM18.54, dan Malaysian Pacific Industries serta Kuala Lumpur Kepong berkurangan 18 sen masing-masing kepada RM29.70 dan RM20.54.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 30.83 mata kepada 12,031.03, Indeks FBMT 100 naik 31.08 mata kepada 11,766.93, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 15.73 mata kepada 12,114.25.
Indeks FBM 70 meningkat 11.61 mata kepada 17,125.81 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 44.86 mata kepada 5,245.40.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 77.02 mata kepada 18,145.26, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.93 mata kepada 171.29, Indeks Tenaga naik 0.34 mata kepada 785.74, dan Indeks Perladangan menambah 9.93 mata kepada 7,917.75.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.90 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.0 bilion unit bernilai RM120.24 juta daripada 1.16 bilion unit bernilai RM140.62 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 544.53 juta unit bernilai RM268.54 juta daripada 482.47 juta unit bernilai RM168.77 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 729.56 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (291.62 juta), pembinaan (92.69 juta), teknologi (189.06 juta), perkhidmatan kewangan (63.06 juta), hartanah (198.87 juta), perladangan (27.10 juta), amanah pelaburan hartanah (16.30 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (102.04 juta), penjagaan kesihatan (73.73 juta), telekomunikasi dan media (52.16 juta), pengangkutan dan logistik (28.45 juta), utiliti (38.83 juta), dan amanah perniagaan (28,800).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial