PASARAN > BERITA

HARGA MINYAK MENTAH MELONJAK LEBIH 5.0 PERATUS SUSULAN PENGUMUMAN SEKATAN AS

23/10/2025 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Harga minyak mentah melonjak lebih lima peratus pada  Khamis susulan pengumuman sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat minyak Rusia.

Pada 7.30 malam, minyak mentah penanda aras Brent meningkat 5.46 peratus kepada US$66.01 setong.

Pada Rabu, Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan bahawa sekatan terbaru itu menyasarkan dua syarikat minyak terbesar Rusia, Lukoil dan Rosneft, serta beberapa anak syarikat mereka yang berpangkalan di Rusia.

Ketua analisis geopolitik Rystad Energy, Jorge Leon, berkata kenaikan mendadak harga minyak susulan pengumuman itu mencetuskan kebimbangan pasaran bahawa eksport minyak mentah Rusia, terutamanya ke India, boleh jatuh menjunam.

"Sekatan terbaru AS terhadap pengeluar minyak terbesar Rusia itu menunjukkan peningkatan ketara yang belum pernah terjadi sebelumnya ini dalam kempen tekanan Washington terhadap Moscow.

"Ditambah dengan gelombang serangan baru-baru ini ke atas infrastruktur minyak Rusia, sekatan ini meningkatkan prospek gangguan besar terhadap pengeluaran dan eksport minyak mentah Rusia, sekali gus membawa risiko penghentian pengeluaran secara paksa," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Leon berkata keadaan geopolitik yang semakin kompleks boleh mengancam kesepaduan strategi Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum Plus (OPEC+) untuk meningkatkan bekalan secara beransur-ansur.

"Jika pengeluaran Rusia dikurangkan, Moscow akan mendapati ia tidak berdaya maju dari segi ekonomi dan politik untuk menyokong peningkatan pengeluaran seterusnya dalam pakatan itu.

"Senario sedemikian boleh mencetuskan semula ketegangan dalam OPEC+, ketika negara anggota mempertimbangkan keperluan untuk kestabilan pasaran berbanding imperatif fiskal mereka sendiri dalam keadaan persekitaran yang semakin tidak menentu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan