PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP TINGGI MENJELANG LAPORAN DATA IHP AS

24/10/2025 07:01 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila para pelabur menjadi lebih berhati-hati menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2210/2255 berbanding dolar AS daripada 4.2250/2285 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan pada paras lebih kukuh apabila para peserta pasaran menunggu bacaan inflasi terkini (IHP) yang dijadualkan dikeluarkan hari ini.

Katanya, ia berpotensi memberi petunjuk lanjut mengenai unjuran kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

“Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) menokok kepada 99.06 mata apabila jangkaan konsensus menunjukkan bacaan IHP yang lebih tinggi sekali gus mencerminkan kebimbangan berterusan terhadap tekanan inflasi yang berlanjutan di ekonomi terbesar dunia,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam turut menekankan ketidaktentuan yang disebabkan oleh penutupan kerajaan AS waktu ini mengehadkan akses kepada data penting menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 28-29 Oktober.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.7592/7623 daripada 2.7687/7712 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.6232/6292 daripada 5.6395/6442 ketika ditutup semalam.

Sementara itu, ia susut berbanding euro kepada 4.9010/9062 daripada 4.8976/9017.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya berkembang berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2484/2521 daripada 3.2513/2542, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.20/7.21 daripada 7.21/7.22 dan sedikit melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.8768/8952 daripada 12.8772/8937 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 254.2/254.6 daripada 254.0/254.4.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan