PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP PARAS TERENDAH INTRA HARI SUSULAN JUALAN SAAT AKHIR

06/11/2025 06:51 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah intra hari sebelum mencatatkan kenaikan pada awal dagangan Khamis, terkesan oleh jualan saat akhir dan aktiviti pengambilan untung walaupun prestasi memberangsangkan di pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.61 mata atau 0.16 peratus kepada 1,618.94 daripada 1,621.55 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.06 mata lebih rendah pada 1,621.49 dan mencapai paras tertinggi 1,624.29 pada awal dagangan.

Namun, pasaran keseluruhannya menunjukkan sedikit kenaikan dengan 580 kaunter untung mengatasi 536 kaunter rugi manakala 584 kaunter tidak berubah, 953 kaunter tidak diniagakan dan lapan kaunter lagi digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.96 bilion unit bernilai RM2.52 bilion daripada 4.77 bilion unit bernilai RM2.70 bilion pada Rabu.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan serta Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kaunter produk dan perkhidmatan industri menerajui kenaikan yang disokong oleh keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Namun, beliau berkata kaunter berkaitan pengguna dan runcit menyaksikan penurunan ketara, mencerminkan aktiviti pengambilan untung selepas berlaku kenaikan yang kukuh selama tiga bulan.

“Mengekalkan OPR akan terus menyediakan persekitaran pembiayaan yang stabil dan boleh dijangka untuk perniagaan.

"Permintaan domestik kekal kukuh dan kami masih menjangkakan saham berkaitan pengguna akan menunjukkan prestasi baik pada suku ini memandangkan pasaran buruh yang menyokong serta keadaan pendapatan yang stabil,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Sedek berkata pasaran serantau mencatatkan kenaikan paling kukuh dalam tempoh lebih seminggu dengan pelabur kembali kepada saham teknologi selepas berlaku pembetulan sementara.

“Posisi pelabur terus menunjukkan keyakinan terhadap implikasi pertumbuhan struktural kecerdasan buatan walaupun persoalan mengenai penilaian dan penumpuan pasaran masih berterusan.

"Petunjuk positif dari Wall Street iaitu pembelian saham dengan corak serupa akibat kelemahan pasaran selain memperkukuhkan minat risiko di seluruh pasaran serantau," katanya.

Dalam kalangan saham wajar tinggi, Maybank, CIMB Group dan Tenaga Nasional masing-masing kekal pada paras RM9.92, RM7.50 dan RM13.20.

Public Bank pula merosot lapan sen kepada RM4.26 manakala IHH Healthcare turun enam sen kepada RM8.22.

Dalam kalangan saham paling aktif, MMAG berkurang satu sen kepada 9.5 sen, Perak Transit susut tiga sen kepada 26.5 sen, NexG kekal tidak berubah pada 30 sen manakala Tanco dan Zetrix AI masing-masing naik dua sen kepada 90.5 sen dan 84 sen.

Dalam kalangan saham paling untung, Hong Leong Industries berkembang 54 sen kepada RM14.74, Chin Teck Plantations menambah 20 sen kepada RM10.80, Dutch Lady Milk menokok 16 sen kepada RM26.78 dan MISC serta Lim Seong Hai Capital masing-masing meraih 14 sen kepada RM7.79 dan RM2.40.

Dalam kalangan saham paling rugi termasuk Nestlé yang turun RM3.20 kepada RM112.80, Kuala Lumpur Kepong susut 30 sen kepada RM20.78, Petronas Dagangan merosot 26 sen kepada RM22.54 dan Petronas Gas serta Malaysian Pacific Industries masing-masing susut 24 sen kepada RM18.46 dan RM30.20.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 hilang 11.95 mata kepada 11,795.20 manakala Indeks FBM Emas mengecil 11.03 mata kepada 12,037.89.

Sebaliknya, Indeks FBM Emas Shariah naik 7.59 mata kepada 12,057.20, Indeks FBM ACE meningkat 6.50 mata kepada 5,083.45 dan Indeks FBM Mid 70 bertambah 13.37 mata kepada 16,942.74.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 6.19 mata kepada 8,057.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri melonjak 0.12 mata kepada 168.96, Indeks Tenaga meningkat 6.03 mata kepada 767.86 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 85.92 mata kepada 18,337.87.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurang kepada 1.52 bilion unit bernilai RM2.05 bilion daripada 2.05 bilion unit bernilai RM2.16 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.99 bilion unit bernilai RM341.15 juta daripada 2.04 bilion unit bernilai RM369.98 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurang kepada 445.35 juta unit bernilai RM129.49 juta daripada 670.68 juta unit bernilai RM160.92 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 319.78 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (263.05 juta), pembinaan (136.74 juta), teknologi (271.10 juta), perkhidmatan kewangan (58.64 juta), hartanah (156.34 juta), perladangan (38.28 juta), dana pelaburan hartanah (24.91 juta), dana tertutup (4,600), tenaga (92.16 juta), penjagaan kesihatan (49.60 juta), telekomunikasi dan media (48.77 juta), pengangkutan dan logistik (38.16 juta), utiliti (24 juta) serta amanah perniagaan (342,600).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan