PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN KLCI DINIAGAKAN BERHATI-HATI MINGGU DEPAN

22/11/2025 10:49 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menjejaki prestasi pasaran tunai pendasar minggu depan. 

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dengan pemangkin domestik seperti keputusan korporat yang kukuh dan pendekatan dasar kerajaan yang menyokong, FBM KLCI berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap halangan luar sambil mengekalkan trajektori yang membina.

Beliau menambah tahap berhati-hati masih diperlukan memandangkan latar belakang makro global yang yang tidak menentu, terutamanya kebimbangan berterusan mengenai prospek pertumbuhan global dan jangkaan yang berubah-ubah berkaitan dasar monetari Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, profil pendapatan yang defensif, permintaan pelanggan yang stabil dan kedudukan kewangan yang sihat dalam kalangan syarikat bermodal sederhana hingga besar terus menyediakan asas yang stabil untuk pasaran.

“Kami menjangkakan indeks penanda aras akan berada dalam julat 1,610-1,635 sepanjang minggu akan datang,” katanya kepada Bernama. 

Pada asas mingguan, November 2025 susut 4.5 mata kepada 1,619.0, Disember 2025 berkurang lima mata kepada 1,618.5. Mac 2026 merosot 6.5 mata kepada 1,600.0, dan Jun 2026 turun empat mata kepada 1,607.0.

Jumlah dagangan minggu ini menyusut kepada 32,615 lot daripada 37,102 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 45,643 kontrak daripada 50,184 kontrak sebelumnya.

Bagi Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 8.10 mata kepada 1,617.57 berbanding 1,625.67 minggu lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan