Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, meneruskan aliran kenaikan dalam persekitaran sentimen yang semakin positif selepas pengukuhan di Wall Street dan pasaran global.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.61 mata atau 0.22 peratus kepada 1,628.11 berbanding 1,624.50 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 2.66 mata lebih tinggi pada 1,627.16.
Bagaimanapun, sentimen pasaran secara meluas mencatat prestasi lemah, dengan 161 kaunter rugi mengatasi 146 kaunter untung, sebanyak 252 kaunter tidak berubah, 2,217 tidak didagangkan, manakala 95 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 908.27 juta saham bernilai RM64.59 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meneruskan momentum positif berikutan penyertaan pasaran yang konsisten.
“Minat dagangan yang berterusan menunjukkan keyakinan sedang beralih kembali secara beransur-ansur ke pasaran tempatan.
“Kekuatan dalam sektor berkaitan perbelanjaan pengguna, perkhidmatan dan aktiviti perindustrian terus menyokong pandangan bahawa asas domestik sedang bertambah kukuh,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata indeks penanda aras dijangka bergerak dalam julat 1,620–1,635 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.99, Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM13.18, IHH meningkat 18 sen kepada RM8.25, manakala Public Bank susut dua sen kepada RM4.36 dan CIMB turun tiga sen kepada RM7.57.
Bagi senarai paling aktif, Genetec jatuh 3.5 sen kepada 28.5 sen, Nationgate susut tujuh sen kepada 92.5 sen, Asian Pac dan Aizo masing-masing turun satu sen kepada 12 sen dan 4.5 sen, manakala Borneo Oil kekal pada satu sen.
Antara kaunter untung tertinggi termasuk Nestle naik RM1 kepada RM110.80, Time Dotcom meningkat 33 sen kepada RM5.10, KL Kepong menambah 16 sen kepada RM20.76, Dutch Lady naik 16 sen kepada RM29.30, dan Allianz meningkat 12 sen kepada RM18.66.
Bagi kaunter rugi teratas, Hong Leong Bank turun 16 sen kepada RM21.34, MPI susut 14 sen kepada RM32.66, UEM Edgenta berkurangan 12.5 sen kepada 78 sen, Sunway turun 12 sen kepada RM5.43, dan Vitrox menyusut lapan sen kepada RM4.15.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 27.88 mata kepada 12,077.36, Indeks FBM Emas Shariah menambah 39.31 mata kepada 12,040.0, manakala Indeks FBMT 100 naik 24.34 mata kepada 11,853.59.
Sementara itu, Indeks FBM Mid 70 meningkat 26.31 mata kepada 16,990.09, manakala Indeks FBM ACE susut 12.32 mata kepada 4,892.12.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 1.18 mata kepada 18,649.08, Indeks Perladangan naik 35.89 mata kepada 8,235.01, Indeks Tenaga susut 0.30 mata kepada 754.99, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.70 mata kepada 164.02.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial