PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI SUSULAN JUALAN SAHAM WAJARAN TINGGI TERPILIH

04/12/2025 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal diniagakan rendah pada tengah hari Khamis berikutan aktiviti jualan ketara membabitkan saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh sektor utiliti dan perkhidmatan kewangan.

Tenaga Nasional susut 26 sen kepada RM12.58 manakala Public Bank dan Maybank turun enam sen masing-masing kepada RM4.38 dan RM10.20 yang secara kolektif menyebabkan penurunan 5.95 mata daripada indeks komposit.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.68 mata atau 0.29 peratus kepada 1,618.16 daripada 1,622.84 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu yang dibuka naik 1.79 mata kepada 1,624.63, juga bergerak antara 1,617.29 hingga 1,625.99 pada sesi pagi.

Pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 320 berbanding 266, sebanyak 742 kaunter tidak berubah, 1,397 tidak didagangkan dan tujuh digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.29 bilion unit yang bernilai RM1.19 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) akan menyokong pengukuhan ringgit selain memberi manfaat kepada sektor berorientasikan domestik seperti amanah pelaburan hartanah (REIT), pengguna, perbankan, pembinaan serta hartanah.

“Namun demikian, kami melihat sektor sarung tangan berpotensi mencatat peningkatan dari segi jumlah dagangan dan membentuk asas dasar dengan petunjuk kenaikan selepas diniagakan rendah hampir 52 minggu. Kami juga menjangkakan pemulihan jangka pertengahan dalam sektor,” katanya.

Secara teknikal, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata di sebalik ketidaktentuan masa terdekat, ia kekal konstruktif terhadap prospek FBM KLCI dengan indeks itu diunjur mencatat kenaikan, didorong oleh faktor bermusim bagi Disember yang secara sejarahnya lebih kukuh.

“Sebarang penutupan berterusan yang melepasi paras 1,622 (purata pergerakan 20 hari) dan 1,643 (aliran menurun) akan membuka laluan bagi menguji semula paras tertinggi setakat ini pada 1,659.

“Sebaliknya, kegagalan mengatasi halangan yang ada boleh menyaksikan indeks itu dalam konsolidasi dengan paras sokongan pada 1,600 dan 1,591 (purata pergerakan 100 hari),” katanya.

 Saham wajaran tinggi lain menyaksikan Petronas Gas susut 24 sen kepada RM17.24, CIMB rugi empat sen kepada RM7.91, CelcomDigi berkurangan empat sen pada RM3.30, Telekom Malaysia naik 25 sen kepada RM7.88 manakala IHH Healthcare menokok empat sen kepada RM8.31.

Bagi saham aktif, Perak Transit dan Tanco masing-masing naik dua sen kepada 28.5 sen dan RM1.16, Zetrix AI meraih satu sen kepada 82.5 sen, PSP Energy yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, turun setengah sen kepada 15.5 sen manakala Capital A tidak berubah pada 39 sen.

Kaunter dengan untung ketara adalah Fraser & Neave yang naik 78 sen kepada RM35.90, Hong Leong Industries meraih 44 sen kepada RM16.34 manakala Kuala Lumpur Kepong, Kelington dan Hong Leong Financial masing-masing menambah 14 sen kepada RM19.14, RM5.22 dan RM17.88.

Kaunter paling rugi didahului oleh Malaysian Pacific Industries yang susut RM1.08 kepada RM31.40, Allianz Malaysia turun 40 sen kepada RM20.10, Petronas Gas merosot 24 sen kepada RM17.24, Bintulu Port kehilangan 14 sen pada RM5.35 dan Ajinomoto berkurangan 10 sen kepada RM13.70.

Di papan indeks pula Indeks FBM Emas Shariah naik 11.70 mata kepada 11,828.08, Indeks FBM Mid 70 meningkat 26.95 mata kepada 16,789.60, Indeks FBM ACE berkurangan 7.34 mata kepada 4,802.75, Indeks FBM Emas merosot 17.56 mata kepada 11,984.20 dan Indeks FBMT 100 menguncup 20.94 mata kepada 11,764.45.

Bagi sektor, Indeks Perladangan naik 9.27 mata kepada 8,107.34, Indeks Tenaga menambah 5.52 mata kepada 755.47, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 92.15 mata kepada 19,016.91 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.62 mata kepada 166.66.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan