PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TERTINGGI DALAM DUA BULAN SEIRING SENTIMEN POSITIF SERANTAU

12/12/2025 08:10 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini susulan aktiviti belian pada harga rendah, seiring sentimen positif pelabur di pasaran serantau dan mengukuh pada paras tertinggi dalam tempoh lebih dua bulan, yang dicapai kali terakhir pada 2 Okt, 2025.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.42 mata, atau 0.76 peratus, kepada 1,637.81 berbanding paras 1,625.39 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.83 mata lebih rendah pada 1,622.56 sebelum susut ke paras terendah awal 1,622.03, kemudian pulih semula untuk mencapai paras tertinggi harian 1,640.36 dalam dagangan saat akhir. 

Sentimen pasaran secara keseluruhan kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 743 berbanding 387, manakala 530 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,108 tidak didagangkan dan 16 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.09 bilion unit bernilai RM2.46 bilion berbanding 2.99 bilion unit bernilai RM2.35 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup lebih kukuh berikutan aktiviti belian pada harga menarik yang berterusan.

“Pasaran serantau turut mencatat kenaikan, disokong oleh sentimen positif dari Wall Street berikutan jangkaan dasar monetari lebih longgar oleh Rizab Persekutuan AS, selepas pemotongan kadar faedah baru-baru ini dan rancangan untuk menyambung semula pembelian aset,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, Thong berkata indeks penanda aras itu telah melepasi paras rintangan 1,630, dan kini perlu kekal di atas paras tersebut bagi membuka laluan menuju paras 1,650.

"Kestabilan berterusan melepasi paras 1,630 akan memberi petunjuk peningkatan sentimen pelabur dan menunjukkan bahawa kenaikan baru-baru ini bukan sekadar pemulihan yang singkat.

“Dengan aktiviti dagangan yang kekal sihat dan asas domestik yang menyokong, indeks berada pada kedudukan baik untuk mengukuh, terutama jika sentimen pasaran stabil dan aliran masuk dana asing bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI melepasi paras 1,640 pada 4.33 petang dan membuat beberapa percubaan untuk kekal di atas paras tersebut sebelum ditutup rendah sedikit.

“Kenaikan hari ini turut membantu mengecilkan penurunan prestasi tahun-ke-tarikh kepada –0.28 peratus, sekali gus mencerminkan sentimen pasaran yang bertambah baik selepas ketidaktentuan baru-baru ini,” katanya.

Mohd Sedek berkata sentimen turut disokong oleh set data ekonomi Malaysia yang kukuh dikeluarkan hari ini.

“Walaupun data-data ini dikeluarkan lewat, keseragaman dalam ketiga-tiga komponen iaitu pembuatan, pengeluaran perindustrian serta perdagangan borong dan runcit mengukuhkan pandangan bahawa momentum asas ekonomi Malaysia kekal utuh pada suku keempat 2025 dan dijangka kekal stabil menjelang 2026,” katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM10.30, Public Bank menambah lima sen kepada RM4.47, CIMB Group meningkat dua sen kepada RM7.90, Tenaga Nasional melonjak 28 sen kepada RM13.02 dan IHH Healthcare menambah 21 sen kepada RM8.61.

Bagi kaunter paling aktif, Velesto Energy mengukuh setengah sen kepada 28 sen, Tanco Holdings meningkat tiga sen kepada RM1.18, Perak Transit naik tiga sen kepada 31.5 sen, manakala Zetrix AI dan Borneo Oil masing-masing tidak berubah pada 83.5 sen dan setengah sen.

Kaunter paling untung termasuk BLD Plantation yang melonjak RM1.16 kepada RM16.20, Petronas Gas naik 42 sen kepada RM17.70, LPI Capital menambah 22 sen kepada RM14.96, dan PGF Capital meningkat 15 sen kepada RM1.93. 

Antara kaunter paling rugi, Nestle susut 90 sen kepada RM113.30, Batu Kawan turun 10 sen kepada RM19.26, Ajinomoto berkurang 10 sen kepada RM13.68, Sungei Bagan Rubber merosot sembilan sen kepada RM5.53, dan Telekom Malaysia menyusut lapan sen kepada RM7.80.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 90.37 mata kepada 12,074.03, Indeks FBM Emas Shariah naik 86.44 mata kepada 11,909.20, Indeks FBMT 100 menambah 86.43 mata kepada 11,863.30, Indeks FBM 70 naik 106.10 mata kepada 16,736.67, manakala Indeks FBM ACE menokok 46.13 mata kepada 4,758.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 69.22 mata kepada 19,221.70, Indeks Perladangan bertambah 17.09 mata kepada 8,151.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.63 mata kepada 169.17, dan Indeks Tenaga meningkat 4.99 mata kepada 767.79.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.64 bilion unit bernilai RM2.19 bilion daripada 1.47 bilion unit bernilai RM2.10 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menurun kepada 1.04 bilion unit bernilai RM141.19 juta berbanding 1.17 bilion unit bernilai RM134.84 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula bertambah kepada 397.29 juta unit bernilai RM121.52 juta berbanding 344.31 juta unit bernilai RM117.09 juta semalam.

Di Pasaran Utama, saham pengguna dan perkhidmatan mencatat 280.25 juta unit didagangkan, produk dan perkhidmatan perindustrian (278.28 juta), pembinaan (130.42 juta), teknologi (235.04 juta), perkhidmatan kewangan (84.55 juta), hartanah (174.03 juta), perladangan (17.88 juta), amanah pelaburan hartanah (21.36 juta), dana tertutup (8,100 unit), tenaga (225.53 juta), penjagaan kesihatan (97.22 juta), telekomunikasi dan media (26.57 juta), pengangkutan dan logistik (42.47 juta), utiliti (30.21 juta) dan amanah perniagaan (sifar).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan