Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya pada Selasa, ditutup pada paras 4.08 berbanding dolar AS menjelang pengumuman data pekerjaan bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) malam ini.
Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.0835/0875 berbanding dolar AS 4.0930/0980 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data NFP malam ini berpotensi memberikan hala tuju yang lebih jelas terhadap prospek dasar monetari AS.
“Sekiranya NFP mencatatkan angka yang lebih rendah, ia akan meningkatkan kemungkinan pemotongan kadar faedah AS seterusnya pada 2026,” katanya kepada Bernama.
Ringgit melonjak ke paras 4.08 berbanding dolar AS ketika pasaran dibuka pada Selasa, mencatatkan prestasi paling kukuh dalam tempoh hampir lima tahun.
Di peringkat domestik, Mohd Afzanizam berkata rombakan kabinet terbaharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dilihat secara positif terhadap ekonomi negara.
“Rombakan kabinet ini akan memastikan kesinambungan dan konsistensi dasar susulan beberapa kekosongan jawatan menteri yang berlaku sejak beberapa bulan lepas,” katanya.
Anwar hari ini mengumumkan pelantikan menteri baharu dan perubahan membabitkan 11 portfolio dalam Kabinet Kerajaan MADANI.
Pelantikan baharu itu melibatkan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurop sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Selain itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, menggantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan pula dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, menggantikan Steven Sim, yang kini memegang jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Pada penutupan dagangan, ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4760/4813 daripada paras 5.4793/4860 ketika ditutup semalam, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6372/6400 daripada 2.6410/6444, serta naik sedikit berbanding euro kepada 4.8014/8061 daripada 4.8064/8123.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang serantau ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1657/1691 daripada 3.1746/1787, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9532/9721 daripada 13.0201/0422, serta meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 244.6/245.0 daripada 245.5/245.9. Bagaimanapun, ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 6.95/6.96 daripada 6.93/6.94 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial