Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan hari ini dengan sentimen kukuh, menamatkan penyusutan sebelumnya berikutan kenaikan indeks petunjuk pasaran yang didorong oleh saham sektor perindustrian dan pengguna.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.46 mata atau 0.33 peratus kepada 1,646.90 daripada 1,641.44 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks itu dibuka rendah 1.21 mata kepada 1,640.23 dan bergerak antara 1,636.61 dan 1,647.80 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran lebih luas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 590 berbanding 477 manakala 527 kaunter lagi tidak berubah, 1,182 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.47 bilion unit bernilai RM2.29 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Rabu.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata di seluruh pasaran lebih luas, sektor pengguna menunjukkan prestasi lebih baik manakala sektor penjagaan kesihatan mencatat penyusutan paling ketara.
Bagaimanapun, katanya, minat dagangan terus perlahan, seperti yang dicerminkan oleh jumlah dagangan yang kekal tidak melebihi purata harian tiga bilion saham untuk sesi keempat berturut-turut.
“Penyertaan yang suram ini menunjukkan bahawa peningkatan semula pasaran didorong oleh pengumpulan secara terpilih dan bukannya kerana keyakinan yang meluas memandangkan pelabur terus mengukuhkan kenaikan baru-baru ini.
“Sentimen yang lebih perlahan ini mencerminkan sentimen serantau dan global yang lemah, dengan indeks utama luar negara meneruskan penyusutan selepas mencecah paras tertinggi minggu lepas,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium dan Sime Darby masing-masing meningkat 11 sen kepada RM7 dan RM2.09. YTL Power menambah sembilan sen kepada RM3.47 manakala Maybank dan Public Bank tidak berubah masing-masing pada RM10.30 dan RM4.41.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI dan V.S. Industry masing-masing naik 1.5 sen kepada 82 sen dan 49.5 sen. Top Glove meningkat dua sen kepada 67 sen manakala Tanco susut dua sen kepada RM1.13 dan TWL kekal tidak berubah pada 2.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Nestlé melonjak RM2.10 kepada RM115.90, United Plantations meningkat 72 sen kepada RM29.72, Hong Leong Industries naik 40 sen kepada RM16.30, Kuala Lumpur Kepong menambah 34 sen kepada RM19.70 dan Fraser & Neave naik 30 sen kepada RM35.60.
Bagi kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries dan Dutch Lady Milk masing-masing susut 40 sen kepada RM32 dan RM30.30. BLD Plantation merosot 16 sen kepada RM16.04 manakala Sunway Construction dan Allianz Malaysia masing-masing rendah 14 sen kepada RM5.66 dan RM20.06.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 37.07 mata kepada 12,117.49, Indeks FBMT 100 naik 35.54 mata kepada 11,909.66, Indeks FBM Emas Shariah menambah 56.10 mata kepada 11,977.24, Indeks FBM 70 meningkat 32.05 mata kepada 16,715.65 dan Indeks FBM ACE naik 7.50 mata kepada 4,778.99.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.09 mata kepada 170.91 dan Indeks Perladangan melonjak 64.60 mata kepada 8,234.91. Indeks Tenaga susut 4.50 mata kepada 764.87 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 21.17 mata kepada 19,155.05.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.33 bilion unit bernilai RM2.06 bilion berbanding 1.32 bilion unit bernilai RM2.05 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 850.13 juta unit bernilai RM107.87 juta berbanding 861.45 juta unit bernilai RM124.39 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 296.79 juta unit bernilai RM120.85 juta berbanding 271.58 juta unit bernilai RM98.78 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 195.14 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (234.59 juta), pembinaan (84.12 juta), teknologi (240.19 juta), perkhidmatan kewangan (66.49 juta), hartanah (149.45 juta), perladangan (23.78 juta), amanah pelaburan hartanah (16.32 juta), dana tertutup (23,000), tenaga (85.65 juta), penjagaan kesihatan (139.33 juta), telekomunikasi dan media (33.12 juta), pengangkutan dan logistik (33.64 juta), utiliti (24.34 juta) dan amanah perniagaan (157,800).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial