PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA DINIAGAKAN LEBIH TINGGI MINGGU DEPAN

20/12/2025 11:08 AM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Niaga hadapan di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan menjejaki kenaikan harga emas di Bursa Komoditi New York (COMEX) Amerika Syarikat (AS) apabila pelabur membuat persediaan menjelang pengumuman data ekonomi AS yang penting.

RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya pada Jumaat berkata emas COMEX dijangka membuat percubaan baharu untuk melepasi paras rintangan pada US$4,400 setiap auns troy.

"Sekiranya melepasi paras berkenaan, logam berharga itu boleh melanjutkan trajektori kenaikannya ke arah rintangan seterusnya pada US$4,500.

"Jika tekanan jualan semakin meningkat, harga mungkin kembali ke arah purata pergerakan mudah selama 20 hari. Buat masa ini, kami mengekalkan kecenderungan dagangan positif," katanya.

Tumpuan pasaran pada minggu depan akan beralih kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar suku ketiga 2025 AS, yang dijangka dikeluarkan pada 23 Dis, 2025.

Berasaskan perbandingan mingguan, kontrak bulan semerta Disember 2025 meningkat sedikit kepada US$4,331.30 setiap auns troy daripada US$4,324.50 sebelumnya.

Kontrak Januari 2026 menokok kepada US$4,349 setiap auns troy daripada US$4,341.40 seminggu sebelumnya.

Kontrak Februari 2026 naik kepada US$4,364.10 setiap auns troy daripada US$4,357.20 manakala Mac 2026 melonjak kepada US$4,380.80 setiap auns troy daripada US$4,373.90.

Sebaliknya, kontrak April 2026, Jun 2026 dan Ogos 2026 ditutup lebih rendah pada US$4,380.80 setiap auns troy daripada US$4,394.20 sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan berkembang kepada 520 lot daripada 192 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 149 kontrak daripada 238 kontrak.

Emas fizikal ditetapkan pada US$4,333.35 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 18 Dis, 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan